Satu tan ketum bernilai RM50,000 dirampas di Kuala Sanglang - Utusan Malaysia

Satu tan ketum bernilai RM50,000 dirampas di Kuala Sanglang

MOHD Hashim Mat Zain (tiga dari kanan) melihat salah satu bungkusan yang dirampas menerusi operasi dilakukan pada kedudukan 0.4 batu nautika timur laut muara Kuala Sanglang, Perlis, semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Cubaan sindiket penyeludupan daun ketum ke negara jiran digagalkan menerusi operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut muara Kuala Sanglang, di sini, semalam.

Serbuan sekitar pukul 1.20 pagi itu dilaksanakan hasil maklumat risikan Unit Risikan Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) dan bot Perkasa 1227 yang mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot berkenaan disyaki dikendalikan oleh dua suspek yang menuju keluar dari Kuala Sanglang ke arah sempadan Thailand dalam keadaan gelap.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua suspek kemudiannya bertindak mengemudi bot secara berbahaya.

“Mereka kemudiannya melarikan diri dan meninggalkan bot di jeti berhampiran bersama beberapa bungkusan plastik hitam di dalamnya,” katanya sewaktu sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hashim berkata, hasil pemeriksaan dilakukan telah membawa kepada penemuan 150 bungkusan plastik berwarna hitam yang disyaki mengandungi daun ketum seberat satu tan metrik bernilai RM50,000.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, bot berkenaan juga dipercayai dari Thailand dan disyaki mengambil bekalan berkenaan sekitar Kedah untuk diseludup ke negara jiran.

“Kita belum mengenalpasti warganegara suspek berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan buat masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, modus operandi yang digunakan suspek juga adalah dengan mengubahsuai bahagian dalaman bot untuk menyembunyikan bungkusan ketum daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Katanya, semua hasil rampasan termasuk bot yang dianggarkan bernilai RM100,000 itu dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya