SHAH ALAM: “Mungkin saya akan kembali berpolitik pada waktu yang sesuai.”
Demikian kata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mesra disapa KJ selepas lebih setahun menyelami bidang penyiaran radio sehingga memenangi trofi Penyampai Radio Paling Popular pada Anugerah Bintang Paling Popular (ABP) ke-36, semalam.
Syukur dengan kemenangan yang diperolehnya di acara berprestij itu, KJ menyifatkan percubaannya menceburi bidang yang sebelum ini asing buat dirinya itu sebagai satu perkara yang tidak sia-sia.
“Tidak sia-sia saya melangkah masuk dalam dunia penyiaran radio ini sebab nampak okey. Siap menang anugerah.
“Cuma, saya hanya ‘singgah’ sekejap di dunia baharu ini. Tetapi, bila waktunya itu, saya tak tahu. Saya seronok dengan apa yang saya buat ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Memulakan kerjayanya sebagai penyampai radio di stesen Hot FM pada Februari tahun lalu, KJ mengakui perjalanannya dalam dunia hiburan ini disambut baik dengan bantuan dan sokongan rakan sekerja.
Tambah KJ, dia turut mengenang jasa rakan sekerjanya iaitu Muhammad Azmir Selamat atau AG, Johan Raja Lawak dan Fara Fauzana yang banyak mendedahkannya ilmu baharu dalam bidang tersebut.
“Sebagai orang baharu dalam bidang media dan hiburan, saya memang tidak layak kalau tidak kerana sokongan dan bimbingan rakan-rakan saya.
“Cabaran sepanjang setahun ini ialah saya perlu belajar perkara yang kita tak tahu, macam hari pertama di sekolah. Cara pembawakan dan penyampaian saya sebelum ini sangat berbeza dan saya terpaksa belajar dengan cepat.
“Sebab itu saya tujukan kemenangan ini terutamanya buat rakan-rakan saya di konti seperti AG, Fara Fauzana dan Johan kerana mereka telah menjadi guru kepada saya.
“Kemenangan ini adalah kemenangan kami semua dan saya dedikasikan untuk semua keluarga di Hot FM. Kemenangan saya ini juga disebabkan oleh guru yang bagus yang mengajar kemahiran baharu buat saya,” jelasnya.
Sekadar info, KJ berjaya meraih undian tertinggi sekali gus menewaskan empat calon lain bagi kategori Penyampai Radio Paling Popular iaitu Dj Sonic, Haiza, Tyzo dan Sharifah Shahirah. -UTUSAN