SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan dan tiga anggota polis ditukarkan serta merta ke kontinjen lain susulan kes parti di pejabat cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.
Kejadian tular mengenai parti itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi, 28 September lalu didakwa bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) polis yang tidak membenarkan mana-mana orang awam dibawa ke premis pejabat tanpa urusan rasmi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati seorang anggota berpangkat Koperal membawa masuk empat individu termasuk seorang lelaki awam ke pejabat cawangan JSJ tersebut.
“Dalam insiden itu, ia disebut sebagai called party termasuk mendengar muzik dan ada sedikit makanan.
“Jadi, itu tindakan dalaman dan anggota berpangkat koperal berkenaan keluar dari (kontinjen polis) Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial memaparkan seorang anggota polis antara individu ditemukan di sebuah bilik dalam keadaan gelap dan alunan muzik yang kuat.
Jelas Hussein, tiga lagi penyelia polis yang berpangkat Sarjan, Sarjan Mejar dan Inspektor turut ditukarkan dari Kontinjen Polis Selangor.
“Kesemua mereka ditukarkan dari JSJ dan ada yang pergi (dipindahkan) ke Johor dan Kelantan serta-merta. Tindakan itu dilakukan mengikut Peraturan 3C Pegawai Awam (Tata Kelakuan dan Disiplin) 1993,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, tangkapan tiga anggota polis dari IPD Kajang yang positif dadah adalah berpangkat rendah dan bukannya Ketua Balai.
“Ketiga-tiga anggota ini juga sudah ditukar ke bahagian pengurusan secara serta-merta. Mereka akan dikenakan tuduhan mengikut jenayah dan tatatertib,” ujarnya. – UTUSAN