'Sang bedal' muncul kembali di Tasik Seksyen 7?

‘Sang bedal’ muncul kembali di Tasik Seksyen 7?

Buaya
TANGKAP layar video tular dikatakan memaparkan seekor buaya sedang berenang dekat Pusat Rekreasi Taman Tasik Seksyen 7, di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Gempar, buaya didakwa muncul kembali dekat Pusat Rekreasi Taman Tasik Seksyen 7 menerusi rakaman video yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Bagaimanapun, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan reptilia yang dikesan adalah biawak dan bukannya buaya.

Pengarahnya, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai satu video di aplikasi TikTok memaparkan dakwaan kehadiran buaya di tasik berkenaan dan menggerakkan sepasukan pegawai dan anggota Perhilitan Shah Alam kemudian bergegas menjalankan siasatan di lokasi itu, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

“Hasil pemerhatian menyeluruh kemudian menemukan empat ekor biawak di kawasan tasik berkenaan. Tiada sebarang kelibat buaya dilihat dan pegawai kami turut bertanya kepada pemancing serta orang awam di lokasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Wan Mohd. Adib, pemerhatian pihaknya ke atas video tular itu turut mendapati reptilia berkenaan merupakan biawak.

“Justeru, kami menasihatkan orang ramai berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendirian.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Perhilitan menerusi talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” ujarnya.

Pada 4 September lalu, umpan ayam segar dipasang Perhilitan Selangor selama 12 jam di tasik itu berjaya menjerat seekor buaya tembaga yang diburu selama dua hari.

Reptilia jantan sepanjang 1.68 meter dengan anggaran berat 15 ke 20 kilogram (kg) itu diselamatkan selepas memasuki perangkap terapung, kira-kira pukul 10.20 malam.

Kehadiran buaya itu tular selepas dilihat berada di tebing tasik berkenaan yang menjadi kawasan rekreasi dan riadah penduduk setempat.

Taman Tasik Seksyen 7 itu kemudian disahkan selamat dan tiada buaya lain dikesan berada di kawasan berkenaan setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN