KUALA SELANGOR: Seekor buaya jantan seberat 250 kilogram (kg) ditemukan mati akibat tersangkut pada bubu nelayan dan lemas di Sungai Tengi, Ban Kenal, Tanjong Karang di sini.
Bangkai reptilia spesis julung itu dijumpai terapung oleh nelayan tempatan sejak kelmarin sebelum dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pihaknya menerima maklumat tular mengenai penemuan itu kira-kira pukul 8 malam kelmarin sebelum mengerahkan sepasukan dari Perhilitan Sabak Bernam membuat tinjauan di lokasi.
“Pemeriksaan menemukan bangkai buaya ditemui di Sungai Tengi yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari jeti tersebut.
“Bangkai itu berjaya dibawa naik ke darat dan dihantar ke Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun bagi tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita.
Tambah Wan Mohd. Adib, siasatan mendapati buaya itu tersangkut pada bubu dipasang nelayan di sungai berkenaan yang mengakibatkan lemas dan mati.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendirian.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan menerusi talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my. – UTUSAN