Sang bedal gergasi tumpas dengan dua das tembakan

Sang bedal gergasi tumpas dengan dua das tembakan

BUAYA gergasi ditembak mati di Felda Sahabat, Blok 25, Sahabat 9 di Lahad Datu, kelmarin. - IHSAN JHL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU: Seekor buaya tembaga gergasi sepanjang 4.42 meter berjaya ditumpaskan dengan dua das tembakan di Felda Sahabat, Blok 25 Sahabat 9, kelmarin.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat bahawa seekor buaya telah membaham seekor lembu di kawasan ladang sawit berkenaan.

Bertindak atas laporan, JHL mengerahkan kakitangan untuk ke lokasi bagi menjalankan siasatan dan didapati terdapat seekor buaya berada di kawasan anak sungai.

“Berdasarkan maklumat penduduk setempat, sudah beberapa kali buaya dilihat berada di anak sungai berkenaan dan ada beberapa kejadian lembu dibaham. Tapi, tiada laporan dibuat kepada JHL sebelum ini.

“Hanya pada Isnin lalu, JHL menerima laporan mengenai insiden buaya membaham anak lembu di kawasan tersebut. Justeru, kita bertindak melepaskan dua das tembakan untuk menumpaskan buaya jantan sepanjang 4.42 meter berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Silvester berkata, biarpun itu bukan kawasan habitat buaya namun, ada kalanya buaya datang ke anak sungai berkenaan untuk mencari mangsa dan JHL bertindak menembak mati buaya itu demi keselamatan penduduk di kawasan felda tersebut.

Menurutnya, buaya yang ditembak mati akan dilupuskan dengan cara menanam bangkai haiwan itu di kawasan Felda berkenaan kerana jarak kawasan agak jauh dari bandar Lahad Datu.

Jelas beliau, sekiranya kawasan buaya ditembak mati berhampiran dengan bandar, JHL akan mendapatkan bantuan mesin daripada Majlis Daerah Lahad Datu untuk mengangkat buaya itu ke kawasan yang sesuai untuk ditanam.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya