JIKA diimbau zaman kanak-kanak 90-an antara detik paling menyeronokkan bagi mereka adalah menanti kedatangan bas atau perpustakaan bergerak sama ada di sekolah atau di segenap pelosok kampung masing-masing.
Mereka tidak sabar menanti untuk berada di dalam bas berkenaan sama ada untuk membaca atau meminjam buku yang menjadi kemudahan kepada kanak-kanak mendapatkan bahan bacaan.
Seiring dengan perkembangan semasa, kebanyakan kini sudah beralih kepada bahan bacaan digital namun perkhidmatan perpustakaan bergerak terus bertahan kerana sebenarnya masih ada yang lebih selesa dengan bacaan secara fizikal.
Di Perlis, perkhidmatan perpustakaan bergerak yang pertama telah dilancarkan pada 17 Jun 1980 oleh Menteri Besar ketika itu dan terus bertahan selepas lebih 40 tahun.
Bak kata Roslan Dohat,54, yang sudah 25 tahun berkhidmat sebagai pemandu bas perpustakaan bergerak, jika dahulu, kanak-kanak menunggu ketibaan bas ke kawasan mereka di kampung-kampung namun kini, bas pula yang menunggu mereka untuk datang.
Namun, situasi tersebut tidak mematahkan semangat Roslan yang terus bersemangat menyelusuri segenap kampung di seluruh negeri ini di sebalik kebanyakannya ketika ini sudah beralih kepada bahan bacaan digital.
Katanya, sepanjang tempoh bertugas, dia melihat bagaimana perubahan yang sedang berlaku iaitu sambutan untuk orang singgah membaca dan meminjam buku di perpustakaan bergerak itu sudah semakin kurang.
“Jika dahulu, kanak-kanak yang terdiri dalam kalangan murid-murid sekolah menunggu ketibaan bas ke kawasan mereka di kampung-kampung namun kini, bas pula yang menunggu kanak-kanak ini untuk datang,” katanya.
Tambah pemandu bas perpustakaan bergerak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis itu, sambutan kurang memberangsangkan itu bukan bererti kurang budaya membaca tetapi kanak-kanak ini mungkin didedahkan dengan bacaan dalam talian oleh ibu bapa yang lebih mudah dicapai.
Katanya, setiap hari dia terus teruja serta bersemangat menabur bakti untuk menelusuri segenap kampung di seluruh negeri ini dan yakin bahan bacaan fizikal ini masih diminati.
Ujarnya, setiap Isnin hingga Jumaat dia bersama seorang pembantu perpustakaan memulakan tugas singgah di tiga buah sekolah pada sebelah pagi manakala sebelah petang di kampung atau perumahan mengikut jadual.
“Sambutan pada waktu petang khususnya agak kurang kerana ramai pelajar mengikuti kelas Kafa dan aktiviti ko-kurikulum di sekolah.
“Bagaimanapun, saya tetap setia menunggu hingga lewat petang kerana ada dalam kalangan pelajar yang perlu memulangkan buku pada tarikh tertentu. Anggaran buku di dalam perpustakaan bergerak ini adalah sekitar 600 buah,” katanya.
Seorang murid dari sebuah sekolah di Kangar, Muhammad Irfan Rizqi Izlizan,11, berkata, di sebalik kebanyakan rakan-rakannya sudah beralih kepada bahan digital namun dia lebih selesa membaca buku secara fizikal.
Menurut murid berkenaan, ibu bapanya sering bercerita mengenai keseronokan menanti perpustakaan bergerak datang di kampung-kampung dahulu sehingga membuatkan dia masih teruja untuk menanti ketibaan bas berkenaan.
“Jika ada masa pada waktu petang, saya juga akan singgah di perpustakaan bergerak untuk membaca buku di situ. Perpustakaan bergerak sekarang juga sudah jauh lebih moden dengan pelbagai kemudahan.
“Saya lebih puas baca buku secara fizikal ini walaupun sekarang bahan bacaan sudah lebih mudah diakses secara dalam talian dan sebagainya,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 348 perpustakaan ditutup dalam tempoh lima tahun daripada 3,002 pada 2019 kepada 2,654 setakat tahun lalu.
Naib Presiden I, Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), Dr. Mohd. Faizal Hamzah berkata, hal ini berlaku kerana perubahan pentadbiran, pemusatan perpustakaan, dan penyatuan perpustakaan kecil selain faktor peralihan dunia ke arah digitalisasi.
Bagaimanapun jelasnya, peralihan ke arah digital bukan faktor utama bilangan semakin mengecil kerana perpustakaan di Malaysia turut bersama dalam transformasi ke arah perpustakaan digital. – UTUSAN