Sambutan Hari Sukan Negara yang diadakan di SK Batu Melintang baru-baru ini merupakan satu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan melibatkan satu langkah proaktif dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’.
Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, Jeli Kelantan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengadakan program tersebut kerana memahami akan kepentingan dalam usaha kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif.
Kumpulan sasaran program ini adalah kepada semua guru, murid prasekolah, PPKI, murid tahap satu dan dua serta warga sekolah.
Pengerusi program, Laila Ismail yang juga guru besar menyatakan bahawa, program ini wajar dilaksanakan saban tahun memandangkan semua sedar peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara maju.
Menurutnya lagi, program ini memberi impak yang besar memandangkan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bersukan bagi mewujudkan warga sekolah yang cergas dan aktif. –UTUSAN