PETALING JAYA: Sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan ‘safehouse’ oleh seorang ahli politik berpengaruh untuk menyimpan wang kutipan rasuahnya digeledah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Hasil penggeledahan itu, sejumlah mata wang asing berjumlah kira-kira RM5 juta ditemukan. `Safehouse’ itu terletak di ibu negara dan SPRM menyerbu pada pukul 10 malam.
Satu sumber mendedahkan, penggeledahan di `safehouse’ itu dibuat susulan seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) antara dua individu yang ditahan SPRM baru-baru ini.
Sumber itu berkata, penahanan itu bagi siasatan berhubung skandal rasuah jutaan ringgit berhubung konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat cabang pelaburan negeri itu.
“Kedua-dua suspek didakwa ada kaitan dengan ahli politik yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor.
“Susulan itu, salah seorang yang ditahan mendedahkan kewujudan “safehouse” yang bertujuan menyimpan wang hasil rasuah milik seorang ahli politik berpengaruh,” katanya di sini.
Kata sumber, siasatan mengesyaki pangsapuri itu disewa oleh seorang ahli perniagaan sebagai tempat penyimpanan wang hasil rasuah.
“Hasil penggeledahan itu menemukan sejumlah wang mata wang Singapura SGD1,529,000 atau kira-kira RM5 juta.
“Wang ini disimpan bertujuan untuk kegunaan ahli politik berkenaan bagi aktiviti politiknya. Wang itu disita oleh SPRM bagi siasatan lanjut.
“Dipercayai wang ini diberikan oleh seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya dan disimpan oleh ahli perniagaan ini atas arahan ahli politik berpengaruh terbabit,” jelasnya.
Susulan itu, sumber berkata, SPRM sudah membekukan kira-kira 15 akaun bank milik beberapa individu dan syarikat, termasuk yang dipercayai penyiasat digunakan untuk menyalurkan rasuah.
“SPRM juga sedang menyiasat pembabitan ahli politik berpengaruh itu. Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek terbabit
Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai serbuan yang dilakukan SPRM.
“Saya sahkan ada dua orang ditangkap yang (didakwa) terbabit dalam perbuatan rasuah berhubung mendapat konsesi pasir daripada MBI,”katanya. – UTUSAN