Sabah tidak diketepikan pada Belanjawan 2025 - Hajiji

Sabah tidak diketepikan pada Belanjawan 2025 – Hajiji

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Datuk Seri Hajiji Noor menghargai pengumuman Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi perhatian kepada kepentingan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menerusi pembentangan Belanjawan 2025, peruntukan RM6.7 bilion untuk Sabah tahun depan adalah peningkatan sebanyak 0.45 peratus berbanding RM6.67 bilion pada tahun ini.

“Ini sudah memadai untuk meneruskan projek pembangunan pada tahun akhir Rancangan Malaysia Ke-12 pada tahun depan.

“Sabah juga mengalu-alukan tumpuan berterusan Persekutuan untuk merapatkan jurang pembangunan wilayah melalui penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik,” kata Ketua Menteri mengenai Belanjawan 2025 dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan menaikkan bayaran khas interim Sabah daripada RM300 juta kepada RM600 juta tahun depan, yang turut dimasukkan dalam belanjawan.

Selain itu, Hajiji berkata, Sabah turut mengalu-alukan pengumuman bahawa surat setuju terima (SST) bagi 17 pakej di bawah Fasa 1B Pan Borneo Sabah, termasuk jajaran Kota Belud – Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau bernilai RM9.7 bilion telah dikeluarkan.

“Kami juga mengalu-alukan persetujuan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek naik taraf Lapangan Terbang Tawau serta peruntukan untuk membaiki sekolah daif di negeri ini,” katanya.

Jelas beliau, Belanjawan 2025 jelas menunjukkan ekonomi Malaysia berada dalam aliran semakin meningkat dan kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN