GEORGE TOWN : Hasrat Penang FC untuk bangkit melakar keputusan positif dalam aksi pertama pusingan kedua saingan Liga Super musim ini ‘terkubur’ apabila dibelasah 0-4 oleh Sabah di Stadium Bandaraya, malam ini.
Turun tanpa kelibat ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang difahamkan kini sedang bercuti panjang, benteng tuan rumah nampak begitu longlai khususnya pada babak awal separuh masa pertama.
Kesempatan itu diambil oleh pelawat apabila berjaya menjaringkan gol seawal minit pertama menerusi rembatan deras luar kotak penalti oleh penyerang Indonesia, Saddil Ramdani.
Belum sempat ‘bernafas’, Penang FC dihukum lagi dengan jaringan kedua oleh Sabah, empat minit berselang.
Gol berpunca daripada tendangan percuma luar kotak penalti oleh tonggak pertahanan Sang Badak, Gabriel Peres
yang terus menerjah ke gawang tuan rumah.
Tersentak dengan dua jaringan pantas itu, skuad Harimau Kumbang cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan.
Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan mereka sekali lagi dihukum dengan gol ketiga Sabah, kali ini menerusi pemain tengah, Stuart Wilkin pada minit ke-34 yang melakukan rembatan deras, juga dari luar kotak penalti Penang FC.
Masuk babak kedua, tuan rumah hampir merapatkan jurang gol apabila tandukan penyerang import mereka, Rodrido Dias sekadar menggegar palang gol pada minit ke-48.
Ketika Penang FC seakan mula bersemangat, Sabah bagaimanapun terus menghancurkan harapan skuad Pulau Mutiara itu apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-50 menerusi kapten mereka, Dominic Tan.
Keputusan 0-4 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Penang FC terus ‘berputih mata’ untuk meraih mata penuh di laman sendiri.-UTUSAN