Sabah putuskan fahaman GISBH menyeleweng 

Sabah putuskan fahaman GISBH menyeleweng 

BUNGSU@AZIZ JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan ajaran dan fahaman ahli jemaah Global Ikhwan Services & Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah bercanggah serta menyeleweng dari ajaran Islam.

Perkara itu diumumkan  Pejabat Mufti Negeri Sabah dalam satu kenyataan, semalam.

Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu@ Aziz Jaafar memaklumkan keputusan tersebut dibuat dalam Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri yang diadakan pada 1 dan 2 Oktober lalu. 

Beliau berkata, ajaran dan fahaman yang diamalkan oleh ahli jemaah GISBH didapati bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah al-Asyairah dan al-Maturidiah.

Katanya, penyelewengan ini meliputi aspek akidah, syariah, akhlak, kekeluargaan, kemanusiaan, muamalah ekonomi dan membawa kepada perpecahan umat serta boleh mengancam keselamatan negara.

“Penyelewengan akidah itu termasuk meyakini Abuya (Ashaari Mohammad) ghaib dan akan muncul bersama Imam Mahdi (Syeikh Suhaimi) sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.

“Di samping itu, mereka meyakini amalan bertabarruk yang bercanggah dengan syarak seperti bertabarruk dengan apa-apa yang digunakan oleh pemimpin GISBH antaranya makan dan minum air basuhan tangan, rendaman gigi, janggut dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, penyelewengan dari sudut syariah pula adalah mendakwa solat Jumaat tidak wajib kerana belum tertegak Kerajaan Imam Mahdi. Malah, mereka turut menunaikan solat Jamak Qasar secara berterusan dengan alasan dalam perjuangan fisabililah.

Mengenai penyelewengan dari sudut muamalah ekonomi pula adalah menyalah guna rumah amal untuk mendapatkan sumbangan daripada kerajaan dan orang ramai; eksploitasi ahli (pekerja) seperti kerja tanpa gaji dan pembayaran wang tugasan harian dan penyelewengan-penyelewengan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Justeru, beliau menasihatkan agar mana-mana ahli jemaah GISBH dan orang Islam yang mengamalkan ajaran dan fahaman GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan ajaran tersebut dengan segera. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya