PUTRAJAYA: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) tahanan di rumah tiada kaitan dengan mana-mana individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara ketika ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kajian mengenai penggubalan akta tersebut telah dilakukan tahun lalu dan ia bukannya perkara baharu.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, konteks menyeluruh mengenai kajian akta itu telah dijelaskan dalam mesyuarat Dasar Sosial Negara baru-baru ini.
“Tindakan kepada mewujudkan satu akta baharu berkaitan tahanan di rumah itu telah bermula seawal tahun lalu dalam konteks yang disebut sebagai peralihan.
“Konsep akta itu bermaksud peralihan daripada punitif kepada pemulihan keadilan dimana seseorang individu yang telah didapati bersalah kembali ke dalam komuniti,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, satu projek perintis telah dilaksanakan membabitkan lebih kurang 5,000 banduan yang disebut sebagai rehabilitasi dalam komuniti.
Fahmi berkata, hasil projek rintis itu mendapati, kadar kembali melakukan kesalahan (residivisme) telah turun kepada 15 peratus.
Menurutnya, projek rintis membabitkan kes jenayah yang tidak terlalu berat dan tidak membabitkan kes jenayah bunuh
“Maka, satu akta khusus perlu digubal mengambil kira undang-undang sedia ada dan takrifan mengenai beberapa aspek dari segi penahanan.
“Ia tidak ada kaitan dengan mana-mana individu tapi kita lihat ekosistem itu secara keseluruhan dan kita perlu beranjak sesuai dengan zaman,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, rang undang-undang berkaitan hukuman tahanan di rumah akan dibentang pada tahun depan dan Kabinet telah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaannya.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Mengikut peruntukan akta itu, pesalah dikehendaki berada di tempat yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan. – UTUSAN