RUU Mufti tidak beri kuasa Mufti laksana tindakan kehakiman

RUU Mufti tidak beri kuasa Mufti laksana tindakan kehakiman – Pakar

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024) tidak memberi kuasa kepada mufti dan Jawatankuasa Fatwa untuk melaksanakan apa-apa tindakan kehakiman selain daripada aktiviti penentuan hukum syarak atas isu dan perkara berbangkit dalam ruang lingkup undang-undang diri orang Islam.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kebimbangan yang disuarakan sesetengan pihak yang mendakwa mufti berkuasa membuat arahan sesuka hati sehingga mereka yang ingkar boleh dijatuhkan hukuman, adalah tidak berasas sama sekali.

Kata beliau, perlu ditegaskan bahawa fungsi dan bidang tugas mufti dan Jawatankuasa Fatwa dalam penentuan hukum syarak ialah untuk menimbangkan kedudukan suatu persoalan atau perkara di sisi hukum syarak.

“Ini termasuk memastikan keterpeliharaan amalan yang sah dan sesuai di Wilayah Persekutuan selain daripada kuasa lain yang diperuntukkan dalam RUU itu.

“Hanya mereka yang mengeluarkan pendapat dengan tujuan mengingkari dan amalan bertentangan dengan fatwa yang diwartakan boleh dikenakan pendakwaan yang bukan dilaksanakan oleh mufti, tetapi pihak berkuasa yang lain,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyeru semua pihak supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam diakibatkan tafsiran yang salah terhadap RUU Mufti kerana ia akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara ini.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim mendakwa RUU tersebut adalah contoh jelas pentadbiran autoritarian di bawah kerajaan Madani dan mendakwa mufti menggunakan pengaruh besar di peringkat persekutuan.

Sister In Islam (SIS) pula mendakwa, meluluskan RUU itu akan memberikan kuasa tanpa kawalan kepada pihak berkuasa agama kerana mereka akan kebal terhadap tindakan undang-undang, kata Sisters In Islam (SIS).

Wan Ahmad Fauzi yang juga pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, penentuan hukum syarak terhadap perkara tertentu oleh mufti masih tertakluk kepada budi bicara mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten untuk mentadbir perkaitan dan pemakaiannya dengan sebarang isu perundangan dan fakta yang sedang dibicarakan.

Jelasnya, fatwa adalah pendapat perundangan yang tidak mengikat di sisi undang-undang dengan sendirinya, ia hanya boleh diberi pengiktirafan mahkamah dan menjadi amalan bersifat undang-undang diri bagi umat Islam di Wilayah Persekutuan melalui hak prerogatif diraja Yang di-Pertuan Agong setelah diwartakan.

“Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan menghendaki Yang di-Pertuan Agong mendapatkan nasihat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) walaupun RUU Mufti telah diluluskan sebelum bersetuju dengan pewartaan apa-apa fatwa.

“Terdapat banyak andaian yang dibangkitkan pihak tertentu yang menunjukkan kealpaan mereka tentang peruntukan sedia ada yang menyentuh kedudukan dan fungsi seorang mufti termasuklah juga Jawatankuasa Fatwa,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau isu kekebalan pihak berkuasa tertentu yang didakwa diberikan kepada Mufti dan Jawatankuasa Fatwa dalam RUU ini adalah setanding dengan amalan yang diterima bagi pihak lain seperti hakim yang tidak boleh disaman akibat penghakiman mereka.

Jelasnya, kedudukan tersebut tidak bermaksud suatu penentuan hukum syarak oleh Mufti langsung tidak boleh diperiksa oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa yang kompeten dari sudut pemakaiannya.

“Perlindungan itu diberikan seperti juga buat pihak berkuasa lain untuk memberikan kebebasan kepada Mufti dan Jawatankuasa Fatwa melaksanakan fungsi tugas mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN