RUU Mufti: Mufti Perlis bidas Mohd Na’im

RUU Mufti: Mufti Perlis bidas Mohd Na’im

MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin membidas keras Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

Tegas Mohd. Asri, kebanyakkan besar umat Islam tidak faham berkaitan ajaran Ashairah dan Maturidiyyah yang ingin dijadikan sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah.

Malah, Mohd. Asri mendakwa, Mohd Na’im sendiri belum tentu faham berkaitan perkara itu.

“Saya berani katakan, Insya-Allah, Menteri Agama yang beriya-iya nak mensyaratkan akidah rakyat dengan syarat-syarat itu pun kurang faham. Saya boleh buktikan, Insya-Allah, jika saya diberikan ruang secara terbuka disaksikan rakyat untuk bersoal-jawab dengan beliau berkaitan beberapa soalan tentang Ashairah, Maturidiyyah, al-Junaid dan al-Ghazali itu. 

“Jika beliau benar, dahululah buktikan beliau faham sebelum ingin memaksa rakyat. Jika beliau sendiri tidak mampu, apakah beliau mahu menyesatkan akidah rakyat awam yang akhirnya menyesatkan diri ?,” katanya di sini hari ini

Tambah Mohd. Asri, RUU yang Menteri Agama itu mahu laksanakan akan menjadikan keislaman seseorang Muslim di wilayah pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu dianggap mencukupi sehinggalah dia menganut Ashairah, Maturidiyyah, bertasawuf dengan cara Junaid al-Baghdadi dan al-al-Ghazali. 

Katanya, jika tidak, Muslim itu dianggap terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah dan menganut ajaran sesat dan di sana ada akta ajaran sesat yang boleh dikenakan. 

“Untuk mengikuti mazhab akidah seperti Ashairah dan Maturidiyyah ini tidak memadai sekadar mengetahui nama pengasas dan satu dua isu teologi sahaja. Anda perlu faham isu akidah yang berkaitan seperti tentang qidam, azali, jisim, jauhar, masa, tempat dan beberapa teori dan andaian hukum fizik yang pelbagai. 

“Jika dalam perkara amalan (fekah) seseorang boleh sekadar mengikut (bertaqlid) tetapi bab kepercayaan (akidah) tidak boleh. Bahkan mengikut sebahagian tokoh-tokoh besar Ashairah sesiapa yang gagal mendatang bukti keimanan kepada Allah SWT seperti hujah-hujah Ashairah maka imannya tidak sah. Dalam erti kata lain, dia menjadikan kafir.

“Saya percaya 97 peratus atau lebih Muslim di negara ini tidak mampu memahami perbahasan akidah Ashairah dan Maturidiyyah ini. Majoriti Umat beriman secara fitrah seperti yang berlaku pada generasi awal Islam iaitu Nabi SAW dan para sahabat. Contohnya, orang awam mengatakan al-Quran kalam Allah SWT. Mereka tidak memikirkan untuk menetapkan al-Quran yang dibaca itu bukan kalam Allah SWT yang hakiki, kerana ia adalah makhluk, sebaliknya kalam Allah SWT ialah kalam nafsi iaitu kalam yang ada pada zat Tuhan. 

“Semua hal ini membingungkan orang awam. Apakah mereka akan dihukum sesat kerana gagal memahami hal itu,” soalnya.

Soal beliau lagi, berapa peratus pula yang mendalami kaedah kerohanian Junaid al-Baghdadi dan al-Ghazali untuk menjadikan akidahnya sah?.

Katanya, jika tidak dia bukan Ahlus Sunnah wal Jamaah, lalu termasuk dalam ajaran sesat.

“Apakah dengan RUU ini, maka era kafir mengkafir sesama umat akan bermula? Sesat menyesatkan akan menjadi agenda kerajaan? Rakyat akan diuji keabsahan akidah mereka? atau mungkin selepas ini akan dicadangkan dimasukkan ke kad pengenalan, Agama: Islam Ashairah Maturidiyah Junaid dan Ghazali.

“Apa yang saya lihat, ini isu sektarian yang disumbat kepada Kerajaan Madani. Agenda orang lain yang ingin mengkultuskan yang cuba menggunakan undang-undang negara.

“Saya katakan 97 peratus rakyat Malaysia Muslim tidak faham apakah sebenarnya Ashairah Maturidiyyah al-Junaid dan al-Ghazali. Bukan sahaja rakyat awam, menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen pun ramai yang tidak faham. Lebih daripada itu, ada yang nak sebut istilah itupun tidak lepas. 

“Dalam kalangan yang faham itu sendiri berselisih pula tentang jumlah sifat wajib bagi Tuhan. Bersama evolusi mazhab tersebut ia bertukar daripada 7, 13 dan 20.  Isu alam ini wujud tanpa tempat dan bagaimana makhluk melihat Allah SWT pun masih berbalah sesama Ashairah Maturidiyyah, apatah lagi rakyat jelata awam. Perlukah negara kita masuk ke kancah ini ?, perlukah rakyat disibukkan dengan hal-hal seperti ini?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya