SHAH ALAM: Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 dijangka akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada sidang ini.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, kerajaan akan memastikan RUU tersebut dapat dibaca untuk kali pertama dalam dewan yang sudah bersidang sejak minggu lalu.
“RUU itu digubal untuk memastikan pengguna media sosial dapat melayari sesebuah media sosial dengan lebih selamat.
“Kita juga mahu syarikat media sosial lebih bertanggungjawab dengan kandungan maklumat dan hantaran yang keluar daripada media sosial mereka,” katanya kepada pemberita selepas pada Majlis Syarahan Menteri Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan RUU Keselamatan Atas Talian 2024 akan dibincangkan Parlimen pada bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, pelaksanaan dan penguatkuasaan akta tersebut akan digalas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Dalam pada itu, Ahmad Fahmi menyanggah dakwaan RUU tersebut digunakan sebagai ‘senjata’ bagi menyekat kebebasan rakyat bersuara dalam media sosial, sebaliknya ia bertujuan memberi perlindungan kepada pengguna daripada menjadi mangsa buli siber dan penipuan.
“Hak rakyat negara ini bersuara dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun perlu diingatkan terdapat beberapa perkara di dalam peruntukan yang mana kita tidak boleh bersuara secara terbuka.
“Niat kita (menggubal RUU Keselamatan Atas Talian 2024) paling utama bukan untuk mengekang suara rakyat. Tetapi, RUU itu digubal untuk mengekang tindak-tanduk penjenayah yang memanipulasi dan mengambil kesempatan dalam media sosial,” jelasnya.
Katanya lagi, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan terus mempertahankan hak kebebasan suara rakyat negara ini. – UTUSAN