KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, perundingan bersama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan syarikat-syarikat pemaju terlibat bagi pembangunan semula Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) bakal siap sebelum tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sekiranya rundingan telah selesai berkemungkinan projek pembangunan semula itu akan dimulakan hujung tahun ini atau tahun hadapan.
Sepanjang tempoh tersebut kata beliau, KL Sentral akan tetap beroperasi seperti biasa.
“KL Sentral tetap akan beroperasi setiap hari, dan tidak akan mengganggu proses penambahbaikan terhadap pusat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi taklimat i Kaunter Tiket Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) pasar seni,hari ini.
Projek pembangunan KL Sentral bagi penambaikan untuk menjadikan pusat stesen pengangkutan awam tersebut lebih moden, cekap dan dapat berhubung lebih lancar dengan kawasan sekitarnya,
Anthony sebelum ini dilaporkan berkata, penambahbaikan tersebut membabitkan kerja menaik taraf, mereka bentuk semula, penggunaan semula dan usaha membina semula bagi menampilkan tahap pembinaan lebih moden dan canggih.
Ditanya mengenai pelaksanaan pas My50 bagi penggunaan Keretapi Tanah Melayu (KTM), beliau menjelaskan, kementerian telah menyediakan inisiatif lain dan beberapa potongan diskaun bagi harga tiket penggunaan tren KTM.
“Tiket KTM kini lebih mampu milik, namun terdapat beberapa masalah yang kementerian kami telah kenal pasti, ekoran penyelenggaraaan tren, dan beberapa laluan yang sedang dalam penambaikan.
“Sehubungan itu, sasaran MOT ialah untuk memastikan KTM dapat penambahbaikan servis perkhidmatan, dalam masa sama kami akan meneliti semula untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan KTM,” katanya.
Mengenai isu harga tiket penerbangan yang mahal terutama ke Sabah dan Sarawak, beliau menyarankan agar pengguna membanding harga tiket penerbangan dengan syarikat penerbangan yang lain.
“Terdapat alternatif dan jangan hanya bergantung terhadap harga tiket yang ditawarkan syarikat penerbangan pilihan,” katanya memaklumkan akan membuat pengumuman mengenai inisiatif tiket penerbangan pada musim perayaan, dalam masa terdekat. – UTUSAN