KOTA KINABALU: Rundingan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan bermula sebaik Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pada masa ini PH belum memulakan apa-apa rundingan dengan parti-parti lain.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, pada masa ini sesiapa sahaja boleh menuntut jumlah kerusi yang ingin ditandingi, itu hak mereka.
“Saya rasa apabila DUN dibubarkan, di sinilah kita akan benar-benar duduk dan berunding.
“Sudah tentu pada dasarnya, kami sudah ada idea tentang apa yang kami mahukan tetapi, semuanya tertakluk kepada persetujuan parti-parti lain jadi, kita cuba elakkan terlalu banyak tuntutan kerusi,” katanya semasa pelancaran Xplore Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) di sini hari ini.
Mengulas tentang kemungkinan kerjasama PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Christina berkata, kemungkinan besar kerjasama sebegitu boleh berlaku.
Katanya, sekarang ini ada banyak kemungkinan yang boleh berlaku.
Jika dilihat Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sendiri menafikan khabar angin kerjasama antara STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Warisan (Warisan). Biarpun dikatakan hanya khabar angin, namun Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan tidak menafikan kemungkinan itu.
“Sekarang saya beritahu orang-orang kita untuk turun padang dan buat kerja untuk memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Ditanya adakah beliau akan pertahankan kerusi DUN Api-Api, Christina berkata, ia belum diputuskan namun, apa yang pasti PKR akan pertahankan DUN Api-Api. – UTUSAN