KLUANG: Tidak sanggup terus menanggung kerugian, seorang pengusaha tanaman jambu batu menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri ini segera bertindak untuk menghalang kumpulan gajah liar memasuki kebun dan memusnahkan tanamannya di Jalan Renggam dekat sini.
Chin Chee Keong, 56, berkata, hingga kini dia sudah kerugian hampir RM100,000 akibat kemasukan gajah liar yang memakan buah jambu batu selain merosakkan pokoknya.
Katanya, sejak dua minggu lalu, hampir setiap malam antara tiga hingga lima ekor gajah memasuki kebun seluas 16 hektar itu dan memakan buah jambu batu diusahakan.
“Lebih 500 pokok sudah dirosakkan gajah dan terpaksa disulam semula, gajah akan masuk seawal pukul 5 petang sebelum memakan buah jambu batu yang sudah matang serta sedia untuk dipetik.
“Walaupun pagar elektrik dipasang untuk memagari keseluruhan kira-kira 18,000 pokok jambu batu itu, ia gagal menghalang gajah liar ini apabila tiangnya ditumbangkan atau wayarnya ditekan ke bawah bagi memudahkan masuk ke dalam kebun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Chee Keong, sepanjang dua minggu ini dianggarkan hampir 24 tan buah jambu batu daripada 270 pokok dan 20 batang pokok pisang di kebunnya musnah dimakan dan dirosakkan oleh kumpulan mamalia itu.
“Lebih membimbangkan adalah sekiranya kumpulan gajah berkenaan mendekati kawasan rumah pekerja yang terletak di tengah-tengah kebun, seterusnya menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Chee Keong berkata,dia tidak boleh membina parit di sekeliling kebun itu kerana melibatkan tanah persendirian. – UTUSAN