PETALING JAYA: UMNO menyifatkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi hari ini tidak membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak adalah orang yang bersalah dalam penyelewengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu adalah ruang dan peluang buat Najib untuk membela diri dan membuktikan beliau tidak bersalah.
“Saya, dengan rasa penuh penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang dan tanpa sebarang niat untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membuat dapatan prima facie, selanjutnya memanggil untuk membela diri mantan pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
“Keputusan ini bukanlah satu pengesahan bahawa beliau telah terbukti bersalah, tetapi adalah ruang dan peluang beliau untuk membela diri dan membuktikan diri beliau tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, barisan kepimpinan UMNO dan BN yakin bahawa bekas Presiden UMNO itu berada di pihak yang benar dan akan terus memberikan sokongan bagi meraih keadilan.
“Mewakili UMNO dan Barisan Nasional juga sebagai seorang sahabat, kami yakin beliau berada di pihak yang benar. Kami akan terus memberikan sokongan untuk memastikan beliau mendapat keadilan.
“Kami juga akan sentiasa mendoakan agar pelaku sebenar di sebalik penyelewengan 1MDB dibawa ke muka pengadilan, dan mudah-mudahan beliau diberikan keadilan sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, Najib dilaporkan akan memberi keterangan bela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB bermula 2 Disember ini.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk membela diri atas kesemua pertuduhan itu.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN