PETALING JAYA: Datuk Rosyam Nor akan menyaman mereka yang menuduhnya sebagai menjadi punca kepada runtuhnya rumah tangga Fazura dan Fattah Amin.
Pelakon dan penerbit itu berkata, namanya telah dilabel sebagai ‘penunggang’ isu perceraian Fazura dan Fatah sebab itu beliau akan mengheret pihak terbabit ke mahkamah.
Untuk itu beliau telah membuat laporan polis terhadap beberapa pengendali web dan media sosial yang menggunakan tajuk kononnya dia pernah menasihati Fattah berhubung sikap isteri pelakon berkenaan.
Rosyam membuat laporan di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur dengan ditemani peguamnya, Aizul Rohan, petang semalam.
“Banyak nama dalam senarai. Jadi tunggulah saya seret ke mahkamah. Buat fitnah dan aibkan orang,” katanya melalui hantaran video di Instagram.
Beliau turut menunjukkan beberapa paparan skrin yang didakwa sebagai berita palsu berkaitan dirinya yang mencalarkan kredibilitinya. – UTUSAN