KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa terpilih menjadi selebriti pertama yang merasmikan Usanita Entertainment di bawah naungan Usanita Sdn Bhd.
Menurut Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, penglibatan Rossa sebagai figura utama pelancaran ini sangat signifikan dalam memupuk hubungan antara penggiat seni dari Malaysia dan Indonesia.
“Kami berbangga dapat memulakan langkah pertama ini dengan Datuk Seri Rossa, yang membawa pengalaman dan pengaruh antarabangsa dalam arena kreatif.
“Ini membuka jalan untuk kerjasama yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Selain menekankan inovasi serta kolaborasi antara penggiat seni tempatan dan antarabangsa, kerjasama itu telah dirasmikan dengan episod istimewa talk show digital bertajuk Usanita: Unwrapped Kisah Di Sebalik Spotlight Special Edition With Dato Sri Rossa. Program ini dihoskan oleh Awal Ashaari bersama Adzliana.
Episod istimewa ini dijangka memberikan perspektif mendalam tentang perjalanan seni Rossa, yang telah menjadi inspirasi kepada ramai peminat di seluruh Nusantara.
Kemudian, kolaborasi tersebut turut menyaksikan penyanyi lagu Hey Ladies itu menandatangani plak perasmian syarikat berkenaan sebagai tanda permulaan perjalanan baharu Usanita dalam meneroka peluang untuk penggiat seni di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Upacara tersebut juga menjadi simbolik kepada hala tuju baharu yang akan diterokai oleh Usanita dalam menyokong perkembangan industri kreatif.
Lebih menarik lagi, upacara simbolik tersebut secara tidak langsung mendorong Usanita menaja Rossa untuk Malam Gala Filem Dokumentari All Access To Rossa: 25 Shining Years yang akan berlangsung di Dadi Cinema, Kuala Lumpur.
Difahamkan, dokumentari tersebut diadakan untuk meraikan perjalanan karier cemerlang Rossa selama 25 tahun.
Malah, penglibatan Usanita sebagai penaja menandakan sokongan kukuh mereka terhadap seni dan industri kreatif, selain memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua pihak dalam memartabatkan bakat seni di peringkat serantau.
Dengan kepimpinan dan visi Adzliana, Usanita yakin mampu memainkan peranan besar dalam memberikan perubahan terhadap industri seni negara ke tahap yang lebih tinggi.
Selain itu, Usanita juga telah merangka pelbagai aktiviti menarik yang akan diumumkan dalam masa terdekat untuk menyokong perkembangan dan kelestarian industri kreatif tempatan.
Usaha itu juga bertujuan memberi fokus kepada pembangunan bakat baharu, penstrukturan semula ekosistem industri seni, dan kolaborasi strategik dengan pemain industri dari luar negara.
Dalam masa sama, syarikat itu turut berhasrat untuk memperkenalkan beberapa inisiatif yang melibatkan latihan, peluang kerjaya, serta program sokongan kreatif bagi artis-artis tempatan.
Bukan itu sahaja, Usanita Entertainment juga akan melibatkan diri secara aktif dalam penerbitan kandungan berkualiti tinggi yang merangkumi pelbagai platform digital, selari dengan perkembangan teknologi masa kini untuk memastikan karya seni tempatan mendapat pendedahan lebih luas di peringkat global.-UTUSAN