Rosmah tidak wajar didakwa, pertuduhan `tidak betul' 

Rosmah tidak wajar didakwa, pertuduhan `tidak betul’ 

ROSMAH Mansor tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai pendapatan. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datin Seri Rosmah Mansor sepatutnya tidak didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram kerana pertuduhan tersebut `tidak betul’ di sisi  undang-undang.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berhujah, pertuduhan yang dihadapi isteri bekas Perdana Menteri itu juga melanggar kebebasan diri seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Hujahnya, pendakwaan terhadap Rosmah merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana tindakan itu mengurangkan kualiti hidupnya yang dilindungi di bawah Perlembagaan.

Firoz Hussein berhujah, anak guamnya terpaksa membayar kos guaman, jaminan RM1 juta, menghadiri prosiding mahkamah dan pertemuan dengan pasukan peguamnya selain mengalami kerisauan berpanjangan kemungkinan dipenjarakan sehingga memberi kesan kepada kesihatan mentalnya.

“Kami berhujah, ketidakadilan prosedur yang berlaku memberi kesan buruk kepada kualiti hidup anak guam.  Dengan membenarkan perbicaraan diteruskan akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan proses mahkamah secara terang-terangan,” hujah beliau.

Beliau turut menghujahkan, kegagalan mengisytiharkan cukai pendapatan bukan tertakluk di bawah kesalahan predikat pengubahan wang haram.

Hujahnya, Seksyen 85 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 iaitu kuasa Menteri Kewangan untuk memasukkan seksyen itu ke dalam Jadual Kedua, bertentangan dengan Perlembagaan.

Oleh yang demikian, Firoz Hussein berhujah, Rosmah, 72, sepatutnya dibebaskan daripada kesemua 17 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berhujah, Seksyen 85 adalah berperlembagaan kerana Menteri Kewangan dilengkapi kuasa untuk memasukkan kesalahan lain yang dikenal pasti sebagai kesalahan serius.

Hujah beliau, penambahan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak bertentangan dengan Perlembagaan kerana ia secara teknikalnya bermakna mereka yang tidak mengisytiharkan cukai pendapatan dikategorikan sebagai menikmati hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Hakim K. Muniandy menetapkan 12 November ini untuk menyambung hujahan pihak-pihak terhadap permohonan Rosmah untuk menggugurkan kesemua 17 pertuduhan yang dihadapinya.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram iaitu gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah dan perbuatan itu bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya