SEOUL: Penyanyi dan juga anggota kumpulan Blackpink, Rose, mendedahkan pernah terfikir membatalkan hasrat menyiarkan lagu APT yang diinspirasikan daripada Apartment, sebuah permainan kegemaran masyarakat Korea semasa sesi minuman keras.
Ketika itu, Rose meminta pasukannya memadam lagu tersebut di telefon bimbit masing-masing kerana ragu akan konsep dan tema lagu yang dibawakan.
“Saya ingat lagi sewaktu pulang ke rumah daripada studio rakaman. Saya sempat ragu dan ada konflik dalaman memikirkan wajarkah saya hasilkan lagu berdasarkan permainan rakyat Korea?
“Jadi, saya mahu batalkan penerbitan lagu itu dan minta pasukan untuk padam lagu yang pernah dikongsikan di telefon bimbit mereka.
“Namun rupanya mereka semua suka dan obses dengan lagu tersebut,” katanya dalam satu temu bual.
Tuah memihak kepada Rose apabila lagu APT duet dengan penyanyi popular, Bruno Mars, dengan pantas tular dan memperoleh 49 juta tontonan di You Tube dalam tempoh sehari. Rose satu-satunya penyanyi Asia yang mampu meraih rekod seperti itu.
Bukan itu sahaja, Rose meraih pujian peminat yang rata-rata tidak menyangka penyanyi Australia-Korea yang sebelum ini terkenal membawakan lagu balada akan hadir dengan muzik pop dan indie rock menerusi APT.
Bukan itu sahaja, cara promosi lagu tersebut menerusi hantaran Instagram yang kelakar antara Rose dan Bruno Mars juga menjadi penyumbang terbesar kejayaan lagu berkenaan.
Sebelum APT dilancarkan, Bruno pernah memuat naik gambarnya bersama Rosie dengan kapsyen yang diolah berdasarkan lirik lagu tersebut kononnya Rosie mahu mencium pipinya.
Ia sekali gus mengundang perhatian orang ramai.
APT merupakan projek solo Rose selepas ahli Blackpink mengumumkan membawa haluan masing-masing pada Disember tahun lalu.
Rose bakal menerbitkan album penuh pertamanya bertajuk Rosie pada 6 Disember ini. -UTUSAN