RON95 kena ikut harga pasaran sebenar tapi beri bantuan kepada pengguna kereta kecil

RON95 kena ikut harga pasaran sebenar tapi beri bantuan kepada pengguna kereta kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disarankan untuk tidak campur tangan secara langsung dalam penetapan harga pasaran semasa bagi memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 tidak menjejaskan barangan keperluan harian yang mampu milik untuk rakyat.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, dalam masa yang sama, kerajaan wajar memberi bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa menjejaskan struktur pasaran sedia ada.

“Bagi saya, harga petrol RON95 perlu mengikut harga pasaran yang adil, walaupun tinggi. Namun, bagi yang terkesan, kerajaan boleh bantu dengan cara lain tanpa meletakkan harga berlainan di stesen pam minyak,” katanya selepas menghadiri Sidang Media Khas Belanjawan 2025, hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar subsidi RON95 diberikan berdasarkan jenis kenderaan yang digunakan dan bukannya mengikut kategori isi rumah seperti B40 atau M40.

“Sebagai contoh, golongan kaya yang menggunakan kereta kecil seperti Kancil akan layak mendapat subsidi kerana penggunaan minyak mereka lebih rendah. Sebaliknya, mereka yang menggunakan kenderaan dengan kapasiti enjin besar perlu membayar harga pasaran penuh,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu menilai semula kaedah pengkelasan ambang pendapatan dalam pemberian subsidi, yang kini menggunakan kategori seperti B40, M40, dan T15.

“Penggunaan istilah T15 mungkin mengundang salah tafsir, terutama di luar bandar. Sebagai contoh, pendapatan RM7,759 di Kelantan mungkin meletakkan seseorang dalam golongan T15, tetapi di Kuala Lumpur, jumlah itu hanya cukup-cukup untuk hidup,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2025, memberi jaminan bahawa kepentingan rakyat akan terus dipertahan menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi, yang dijangka bermula pertengahan tahun hadapan.

Penjimatan daripada langkah tersebut akan digunakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya