Rokok kretek, arak, ethanol, kereta import lebih RM11 juta dirampas

Rokok kretek, arak, ethanol kenderaan import bernilai lebih RM11 juta dirampas

Rokok arak
ANIS Rizana Mohd. Zainudin menunjukkan antara kereta mewah yang dirampas dalam pelbagai serbuan sejak Ogos hingga 4 Oktober lalu. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sejumlah minuman keras, rokok kretek, kenderaan import dan ethanol bernilai lebih RM11 juta di sekitar Petaling, Klang dan Kuala Selangor antara 22 Ogos hingga 27 September lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, minuman keras dan ethanol dengan kadar 96 peratus alkohol semula jadi itu di rampas dalam dua operasi berasingan di Pelabuhan Klang dan Tanjong Karang pada 25 dan 26 September.

“Rampasan minuman keras dan sebanyak 79,170.69 liter dan ethanol 67,980 liter bernilai masing-masing berjumlah RM3.106 juta dan RM7.16 juta.

“Satu kes rampasan dibuat pada 26 September di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, sementara satu lagi kes di Tanjong Karang bersama 11,600 batang rokok putih di dua premis berasingan.

“Sementara ethanol pula dirampas dekat sebuah gudang di Pelabuhan Klang pada 27 September dengan kerjasama Cawangan Siasatan Khas JKDM dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) ,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Tambahnya JKDM turut merampas 6,800 batang lagi rokok kretek dan putih bernilai RM35,500 dalam sebuah kereta yang diletakkan dekat kawasan parkir di Taman Subang Mas, Petaling Jaya pada 23 September lalu.

Modus operandi yang digunakan seperti bagi rampasan rokok kretek dan putih di Taman Mas Subang adalah menggunakan orang tengah untuk menghantar barangan tersebut di kedai, sementara bagi rampasan di Tanjong Karang pula pemilik dan pekerja kilang menjadikan premis sebagai stor penyimpan barang larangan atau tidak berkastam.

Bagi rampasan ethanol pula, pengimport membuat pengikraran palsu dalam Borang Kastam 1 yang mengisytihar bahan kimia tersebut sebagai cecair sanitasi berasaskan alkohol.

Terdahulu, dalam sidang akhbar sama, beliau memaklumkan JKDM turut merampas besi sekerap dan sisa elektronik (e-waste) dengan berat lebih 3,000 tan metrik yang bernilai RM19.4 juta menerusi rampasan 151 kontena dekat Pelabuhan Barat.

Menerusi rampasan tersebut, jumlah keseluruhan rampasan kastam bagi tempoh tersebut adalah berjumlah RM30.4 juta.

Jumlah tersebut termasuk rampasan enam buah kereta mewah jenis Porsche, Mitsubishi dan Toyota bernilai RM794,000 yang dirampas di Pelabuhan Utara pada 22 Ogos lalu apabila wakil pengimport gagal mengemukakan permit import kereta mewah daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Justeru, Anis Rizana menjelaskan, kesemua kes rampasan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barangan larangan berlawanan dengan suatu larangan.

“Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 hingga RM500,000 mengikut mana lebih tinggi atau penjara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan rakyat.

“JKDM juga menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi Pejabat JKDM berdekatan. JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya