PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan terdapat unsur kekerasan melampau serta penderaan fizikal dan mental yang dialami tahanan-tahanan etnik Rohingya di Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB).
EAIC dalam kenyataan memaklumkan, penemuan itu adalah hasil siasatan pihaknya mengenai insiden 131 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari depot berkenaan pada 1 Februari lalu.
Katanya, hasil siasatan mendapati tindakan kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya telah bermula dari tahun 2020 hingga 2021 ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi, sebelum dipindahkan ke beberapa depot imigresen, termasuk DISB.
Jelasnya, beberapa pegawai Jabatan Imigrsen (JIM) di DISB, termasuk dua orang pegawai yang pernah bertugas di Kem Wawasan Langkawi sebelum ditukarkan ke DISB, didapati melakukan kekerasan melampau.
“(Ini termasuk melakukan) penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mereka,” katanya hari ini.
EAIC berkata, punca insiden itu turut mendapati, pegawai-pegawai dari JIM dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di DISB didapati tidak peka terhadap keadaan sekeliling sebelum insiden melarikan diri tersebut berlaku.
“Bangunan DISB yang merupakan bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), mempunyai kelemahan infrastruktur yang tidak memenuhi standard yang diperlukan untuk berfungsi sebagai depot tahanan.
“Pegawai kanan dan penyelia di DISB gagal memantau dan bertindak untuk mengawal keadaan semasa insiden tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai[1]pegawai yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JIM.
Katanya, cadangan penambahbaikan infrastruktur depot tahanan juga akan dikemukakan kepada Ketua Pengarah JIM.
“EAIC telah membuat laporan polis mengenai isu kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya di DISB dan Kem Wawasan Langkawi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Siasatan ini dijalankan berdasarkan aduan yang diterima dan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700],” katanya.
Dalam kejadian pada Februari lalu, seramai 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Di DISB dilaporkan melarikan diri dengan kesemua tahanan etnik Rohingya di bawah seliaan JIM.
Bagaimanapun, seorang daripada tahanan itu dilaporkan maut dalam kemalangan di KM335 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bidor. – UTUSAN