Rogol amah: Ahli perniagaan dibenar semak keputusan Mahkamah Rayuan

Rogol amah: Ahli perniagaan dibenar semak keputusan Mahkamah Rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Seorang ahli perniagaan dibenar menyemak keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan dikenakan lima sebatan kerana merogol pembantu rumahnya warganegara Indonesia, pada 2016.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali membenarkan permohonan Sufian Sulaiman, 50, untuk menyemak keputusan satu panel lain Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman itu pada 27 Julai 2023. 

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Lim Chong Fong dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara berpuas hati wujud keadaan khas yang mewajarkan permohonan itu dibenarkan.

“Kami bersetuju dengan hujahan peguam bahawa pemohon tidak diberikan hak untuk didengar sebelum panel terdahulu menguna pakai peruntukkan undang-undang yang telah dirujuk,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima ketika menyampaikan keputusan tersebut.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon anak guamnya dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu permohonan semakan itu didengar.  Jaminan sebelum ini ditetapkan RM30,000.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu atas alasan keputusan hari ini hanya melibatkan semakan dan panel bersidang tidak mengusik perintah koram terdahulu.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Oktober ini untuk pengurusan semakan.

Pada 27 Julai lalu, satu panel lain Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Sufian untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 14 tahun kepada 12 tahun serta memerintahnya menjalani hukuman penjara bermula serta merta.

Mahkamah turut mengekalkan keputusan supaya perayu dikenakan lima sebatan.

Sebelum ini, Sufian dipenjara 14 tahun dan lima sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 18 Mei 2018 kerana merogol mangsa berusia 19 tahun di sebuah rumah di Cheras dekat sini antara pukul 3 pagi dan 4 pagi pada Julai 2016.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 28 Ogos 2020.

Pada prosiding itu, Hisyam yang merupakan salah seorang peguam yang mewakili Sufian berhujah, panel bersidang mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan koram lain jika berlaku ketidakadilan terhadap pemohon.

Beliau berhujah, alasan penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen tidak ditandatangani dan memprejudiskan anak guamnya.

Hujah Hisyam, sabitan terhadap anak guamnya juga dibuat tidak selaras dengan undang-undang dan keadilan akan tercapai hanya apabila mahkamah campur tangan dan membenarkan satu panel lain menyemak keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang selaku responden berhujah, tidak berlaku salah laksana keadilan meskipun alasan penghakiman Mahkamah Sesyen tidak disertakan dengan tandatangan.

Hujah responden, tidak timbul isu ketidakadilan dan prejudis terhadap pemohon kerana kes itu telah melalui tiga peringkat iaitu Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya