SHAH ALAM: Kehadiran juara sensasi Muay Thai dunia, Rodtang Jitmuangnon bakal menggamatkan Kejohanan Kuda Merah International Muay Thai Challenge 2024 ‘King Of the Ring’ pada 16 dan 17 November depan.
Legenda ONE Championship dari Thailand itu dijadualkan menghadiri acara Grand Final kali ke-75 berkenaan dan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur yang bakal hangat apabila julung kali melibatkan perlawanan antara 12 peninju tempatan dan luar negara seperti Thailand, Yemen, Afghanistan, Iran dan Filipina.
Presiden Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur, Rosli Yaacob berkata, seramai 26 peninju terbaik dari dalam dan luar negara akan berentap merebut 13 tali pinggang yang dipertandingkan.
“Selain itu, kita bakal menerima kehadiran jaguh dunia, Rodtang yang kali pertama menyaksikan kejohanan Muay Thai di Malaysia bersama isterinya.
“Beliau turut menghantar dua peninju untuk bertarung dengan peninju negara iaitu adiknya sendiri, Nong Ice dan adik ipar perempuannya, Zaidania Looksaikongdin,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, satu kejuaraan tali pinggang kejohanan itu turut ditaja penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi kategori Wanita Super Fight.
“Kejuaraan itu akan menjadi rebutan antara Zaidania (adik ipar Rodtang) dan peninju dari Singapura, Winnia Law. Kedua-dua mereka peninju hebat dan mempunyai nama besar di negara masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan acara berprestij sejak 2011 anjuran pihaknya bersama Tourism Malaysia itu menyasarkan kehadiran lebih 10,000 penonton.
“Kejohanan selama dua hari itu turut menyokong hasrat kerajaan dalam mempromosikan Kalendar pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2024.
“Selain acara Muay Thai, kita menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti Festival Sendha Lokha, persembahan dikir barat kumpulan peninju dan konvoi motosikal,” jelasnya. – UTUSAN