KOTA BHARU: Kira-kira 4,616 pesawah di kawasan jelapang Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang terkesan dengan bencana alam seperti banjir dan kemarau menarik nafas lega apabila kerajaan memperuntukkan RM9.79 juta bagi membantu mereka.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setiap pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman akibat banjir akan menerima bantuan tunai RM1,800 manakala terjejas akibat kemarau menerima RM876 sehektar.
Menurutnya, kesemua peruntukan itu disalurkan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).
“Semua pihak tahu pesawah di kawasan KADA mengalami cabaran bencana alam seperti banjir dan kemarau setiap tahun, namun kesannya agak ketara pada tahun ini dan tahun lalu.
“Hari ini juga saya sampaikan sumbangan khas bantuan tunai sebanyak RM4.43 juta kepada 7,239 pesawah dalam kawasan KADA,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Khas Sumbangan Tunai Kepada Pesawah (BKST) Fasa 1 dan TBTP di Nilam Puri di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, bencana banjir dan kemarau sepanjang tahun lalu menyebabkan pengeluaran hasil padi negara berkurangan sebanyak lima peratus berbanding peratusan pengeluaran biasa sebanyak 65 peratus.
“Ini kerana Kelantan dilanda banjir sebanyak dua kali pada tahun lalu diikuti kemarau berpanjangan. Akibatnya kita hampir hilang satu pusingan penanaman padi. Di Kedah pula banjir melanda ketika tibanya musim penuaian padi.
“Bagaimanapun, usaha pemulihan sedang berlaku yang mana di kawasan KADA telah memulakan penanaman musim dua bagi tahun ini dan berlaku peningkatan pengeluaran hasil di Selangor termasuk melalui Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan,” ujarnya.
Mohamad berkata, melalui semua usaha yang dilaksanakan, pemulihan bekalan padi dan beras negara dijangka dapat dilihat pada suku pertama tahun hadapan.
“Selain itu usaha menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi ketiga terbesar di negara ini sedang berjalan dengan peruntukan awal sebanyak RM500 juta.
“Penanaman padi melalui usaha penambahan keluasan jelapang di Sarawak baru bermula dan memerlukan masa 10 tahun untuk melihat hasil keseluruhannya. Dijangkakan pada 2030, Sarawak akan dapat mengeksport hasil beras yang dikeluarkan,” ujarnya.-UTUSAN