RM3.8j bina rumah baharu Orang Aslidi Kelantan

RM3.8 juta bina rumah baharu Orang Asli di Kelantan

ROSLINA Bun (kiri) meninjau rumah Program Bantuan Rumah Orang Asli (PBROA) yang diserahkan kepada penduduk Orang Asli di Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sebanyak RM3.8 juta diperuntukkan bagi menampung kos pembinaan 59 buah umah masyarakat Orang Asli di bawah Program Bantuan Rumah Orang Asli (PBROA) di Kelantan sejak empat tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, inisiatif tersebut adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk Orang Asli sekali gus menikmati kehidupan dalam persekitaran lebih selesa.

Katanya, projek tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jakoa.

“Bermula 2021 sehingga tahun ini, sebanyak 59 buah rumah baharu telah dibina untuk Orang Asli di sekitar Kelantan.

“Jakoa telah membina ma­sing-masing 15 buah rumah baharu pada 2021 dan 2022, sebanyak 13 buah pada 2023 dan 16 buah pada tahun ini. Kos pembinaan untuk sebuah rumah PBROA ialah sebanyak RM66,000,” katanya ketika ditemui di Pos Pasik semalam.

Roslina berkata, selain membina rumah baharu, Jakoa melakukan projek membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Jimi Arifin berharap lebih ba­nyak kemudahan rumah baharu dapat diluluskan Jakoa kepada penduduk Orang Asli di situ.

Katanya, masih ramai penduduk Orang Asli yang mengharapkan untuk memiliki rumah di bawah PBROA untuk hidup lebih selesa.

“Masih ramai masyarakat Orang Asli yang tinggal di rumah tradisi yang diperbuat daripada buluh. Jadi kami berharap dapat memiliki rumah kayu atau batu yang lebih selesa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya