RM2.5j bantu penyuraian trafik di Tapah - Utusan Malaysia

RM2.5j bantu penyuraian trafik di Tapah

AHMAD MASLAN (tengah) meninjau penyuraian baru aliran trafik satu hala di Tapah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kementerian Kerja Raya meluluskan peruntukan RM2.5 juta bagi membantu masalah penyuraian baru aliran trafik satu hala di laluan utama trafik daerah ini yang mendapat rungutan pengguna selain tular di media sosial.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukan bagi fasa jangka pendek itu bagi tujuan kerja-kerja penambahbaikan agar laluan tersebut lebih terurus.

“Peruntukan itu akan disalurkan tahun ini menggunakan sebahagian peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) atau menerusi lebihan projek lain.

“Dalam jangka masa pendek ini telah dipersetujui semua pihak terhadap kaedah-kaedah yang akan dilaksanakan sama ada ingin menggunakan lampu isyarat pintar atau mematikan lampu isyarat.

“Selain itu, pembaikan juga perlu dilakukan untuk mengubah bongkah-bongkah konkrit yang ada di laluan itu dengan keadaan yang lebih sistematik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja meninjau penyuraian trafik di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, pihaknya turut menerima cadangan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak bagi membina jambatan dan laluan pintasan sepanjang 200 meter di pekan Tapah dengan kos RM17 juta.

“Perolehan membabitkan fasa jangka panjang itu perlu dinilai semula kerana kosnya terlalu tinggi dan turut melibatkan pengambilan balik tanah serta pengalihan utiliti.

“Laluan 200 meter dengan RM17 juta, itu pada saya tinggi. Saya sudah minta JKR untuk lihat dan kira semula. Ia perlu melalui proses value management (pengurusan nilai) dan value engineering (nilai kejuruteraan), barulah kita dapat kos yang betul-betul tepat,” katanya.

Media melaporkan, sistem jalan sehala yang melibatkan Jalan Persekutuan FT 001 (Seksyen 539-540) dan Jalan Majlis di pekan Tapah mula dilaksanakan sepenuhnya pada 23 Ogos lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya