Rindu anak dipercayai punca lelaki Nepal cuba culik kanak-kanak di Kuang

Rindu anak dipercayai punca lelaki Nepal cuba culik kanak-kanak di Kuang

MOHD. HAFIZ MUHAMMAD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Motif seorang lelaki warga Nepal yang cuba menculik kanak-kanak di Kuang, Rawang dekat sini, minggu lalu dipercayai kerana rindukan anaknya yang berada di negara asal.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, hasil siasatan mendapati suspek berkelakuan tidak siuman kerana rindukan kedua-dua anaknya di Nepal.

Katanya, kali terakhir suspek bertemu anak-anak serta isterinya ketika pulang ke negara asal pada hari raya Aidilfitri, tahun lalu.

“Motif setakat ini dipercayai suspek rindukan dua orang anaknya lebih kurang sebaya dengan anak pengadu sehingga mula berkelakuan tidak siuman.

“Justeru, suspek telah dirujuk ke psikiatrik Hospital Sungai Buloh dan sedang menunggu keputusan pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek bekerja sebagai pegawai keselamatan.

Tambahnya, pihak polis juga akan membuat semakan semula dengan Jabatan Imigresen berkenaan pas keluar masuk serta pas lawatan kerja sementara suspek.

Pada 23 Oktober lalu, media melaporkan seorang lelaki warga Nepal direman empat hari selepas ditahan polis kerana cubaan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya, Rawang.

Mohd. Hafiz dilapor berkata, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 47 tahun menyatakan terdengar daripada jiran pengadu menjerit meminta tolong ada lelaki cuba menculik anaknya pada pukul 12.40 tengah hari.

“Pengadu telah pergi ke rumah jiran dan terlihat lelaki berkenaan melarikan diri.

“Susulan itu, pengadu bersama penduduk telah mengejar lelaki tersebut dan berjaya menahannya berhampiran kawasan pembuangan sampah, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN