PETALING JAYA: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda hampir keseluruhan negara pada hari ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), ribut petir dijangka berlaku pada waktu pagi di beberapa negeri seperti Perak, Selangor dan Johor serta hujan juga diramalkan di Perlis dan Pulau Pinang.
Pada masa sama, Kedah pula dijangka menerima hujan di kawasan pantai.
“Menjelang petang, ribut petir dijangka berterusan dan melibatkan negeri seperti Perak, Kelantan, Perlis, Kedah, dan Johor.
“Manakala di Sabah pula, ribut petir dijangka melanda kawasan pedalaman dan Pantai Barat, termasuk Tawau dan Sandakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, cuaca buruk turut diramal melanda Sarawak di kawasan Sri Aman, Sibu dan Limbang. Namun, Kuching dan Serian dilaporkan tidak hujan.
Met Malaysia juga meramalkan ribut petir pada waktu malam di kawasan pedalaman Kelantan dan Terengganu akan berterusan, serta hujan menyeluruh diramalkan di Perak.
“Hujan juga dijangka berlaku di beberapa tempat di Perlis dan Kedah manakala Johor akan mengalami hujan di kawasan pedalaman,” katanya. – UTUSAN