SIK: Tempoh reman dua lelaki yang ditahan berkaitan kes pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dicampak ke Sungai Padang Terap di Jitra dekat sini disambung sehingga 10 Oktober ini.
Tahanan reman disambung bagi membolehkan siasatan ke atas suspek berusia 26 dan 38 tahun diteruskan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.
Terdahulu, kereta milik Sabari yang dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dijumpai dalam keadaan hangus di tempat pembuangan sampah di Hutan Gubir, di sini.
Dua suspek lelaki termasuk seorang kontraktor kemudian ditahan dan hasil soal siasat, mereka mengaku mencampak Sabari ke Sungai Padang Terap di Jitra.
Operasi pencarian yang dilakukan selama tiga hari di sungai tersebut bagaimanapun gagal menemukan jasad Sabari. – UTUSAN