Remaja merajuk hilangkan diri sejak 10 hari

Remaja merajuk hilangkan diri sejak 10 hari

MUHAMMAD SALLEHUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang remaja berusia 17 tahun menghilangkan diri sejak 10 hari lalu dipercayai merajuk kerana ditegur se­ring keluar rumah pada waktu malam.

Siti Rosidah Akib, 38, berkata, anak sulungnya, Muhammad Sallehuddin Abdullah, 17, keluar pada malam 18 Oktober lalu ke Bandar Benut untuk membeli barang dengan menunggang motosikal Yamaha Lagenda bernombor pendaftaran JQH5586.

Dia sebelum itu ada menegur Muhammad Sallehuddin kerana sering keluar malam selepas tidak bersekolah sejak awal tahun ini, namun teguran itu tidak dihiraukan oleh anaknya.

“Sejak malam itu Sallehuddin tidak pulang, saya cuba mencari di rumah rakan-rakannya di sekitar Benut, namun tidak menemukannya, malah telefon bimbitnya juga gagal dihubungi. Selepas tiga hari Salehuddin tidak balik, saya membuat laporan di Balai Polis Benut dan Balai Polis Pontian pada 20 Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Siti Rosidah yang tinggal di Kampung Parit Bachok (A), Jalan Parit Ismail, Benut tidak pasti sama ada disebabkan selalu ditegur menjadi punca, anaknya menghilangkan diri.

“Selepas kematian suami pada tahun 2014, saya menjaga Sallehuddin dan adiknya serta tinggal bersama-sama ayah dan ibu serta tiga lagi adik-beradik lain,” kata­nya yang bekerja di sebuah kilang memproses makanan di Simpang Renggam.

Siti Rosidah memberitahu, anaknya mungkin tidak bersendirian dan bersama-sama rakan-rakannya, namun tidak mengetahui di mana Sallehuddin berada hingga kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN