KAJANG: Litar pintas dipercayai menjadi punca kebakaran sebuah rumah di Saujana Impian, di sini sehingga menyebabkan seorang remaja perempuan ditemukan rentung semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, satu laporan diterima Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, punca kejadian disyaki litar pintas di tingkat bawah rumah sebelum api marak membakar sehingga ke tingkat atas rumah.
Kata beliau, kebakaran menyebabkan 60 peratus rumah dijilat api.
“Hasil pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan pada pukul 9 pagi ini, pihak hospital mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas akibat menyedut asap kebakaran.
“Justeru, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, mayat seorang remaja perempuan ditemukan dalam keadaan terbaring dan melecur di dalam sebuah bilik di tingkat dua kediaman terbabit.
Ketika kejadian remaja berkenaan dipercayai tinggal berseorangan. – UTUSAN