Rebut parkir: Peguam tidak mengaku cederakan wanita - Utusan Malaysia

Rebut parkir: Peguam tidak mengaku cederakan wanita

GOH Suan Poi didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita di tempat letak kereta dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita di tempat letak kereta sebuah pasaraya, Februari lalu.

Tertuduh, Goh Suan Poi, 72, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Evangelin Simon Silvaraj.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ashvinder Kaur, 35, di kawasan tempat letak kereta sebuah pasaraya di Ipoh dalam daerah Kinta, pada pukul 6.46 petang, 18 Februari 2024.

Pertuduhan terhadap Suan Poi itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Monisha Pandey manakala tertuduh diwakili peguam, Khairilazwar Khalil.

Terdahulu, Monisha menawarkan ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin, namun Khairilazwar memohon mahkamah tidak mengenakan jaminan terhadap anak guamnya mengambil kira tertuduh adalah bekas guru sejak 1976 hingga 1997 sebelum bertukar kerjaya kepada peguam pada 1998 hingga kini.

Malah, Khairilazwar berkata, anak guamnya juga memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 11 November depan.

Dalam kejadian pada pukul 6.46 petang itu, mangsa yang juga seorang peguam dilaporkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian pipi kanan akibat ditampar oleh suspek.

Suspek dikatakan bertindak demikian selepas berlaku pertengkaran mulut antara mereka yang ‘berebut’ tempat letak kereta di pasaraya berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya