KUALA NERUS : Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris menegaskan beliau tidak akan menarik diri dari bertanding untuk jawatan Naib Presiden bagi pemilihan parti tidak lama lagi.
Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu memaklumkan hasratnya terus bertanding adalah bertujuan memperkukuhkan lagi peranan parti tersebut dalam arena politik negara.
Menurutnya, beliau tidak gentar bertanding meskipun berdepan persaingan daripada lima lagi calon yang lain bagi
merebut tiga jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti untuk sesi penggal 2024-2027.
“Kita dah masuk (senarai bertanding), jadi tak ada istilah nak tarik balik dan saya akan teruskan sahaja untuk sama-sama membantu parti.
“Ini adalah pendirian saya sendiri kerana saya juga adalah antara pengasas parti ketika ditubuhkan dahulu, jadi saya kena berkhidmat pada parti (sebagai Naib Presiden) untuk suara yang lebih kuat demi kebaikan parti selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini. hari ini.
Mengulas lanjut, Razali menyatakan jawatan Naib Presiden dilihat sebagai satu jawatan yang bersesuaian untuk dirinya berdasarkan pengalaman politik sedia ada.
“Saya pernah menjadi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selama dua penggal dan Ketua Penerangan Bersatu pun dah (jalankan tugas sekarana),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Razali berkata, beliau tidak gentar untuk berdepan calon yang lain malah menyifatkannya sebagai suatu pertandingan yang sihat.
“Jadi kita serahkan pada perwakilan untuk pilih calon yang mana yang sesuai untuk dijadikan Naib Presiden bagi membantu Presiden, Timbalan Presiden dan parti,” katanya.
Pada Jumaat lepas, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Saiful Adli Arshad memaklumkam enam calon layak bertanding termasuk penyandang jawatan Timbalan Presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Lima calon lagi ialah A’ziss Zainal Abidin; Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Datuk Dr. Mohd. Radzi Md Jidin; Datuk Razali Idris dan Mohd. Rafiq Abdullah untuk memenuhi tiga jawatan Naib Presiden yang akan dipertandingkan nanti.
Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal Presiden Bersatu manakala Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisi jawatan Timbalan Presiden, selepas masing-masing menang tanpa bertanding dalam pemilihan tersebut. – UTUSAN