Rayuan akhir bekas KSU, anak diputuskan

Rayuan akhir bekas KSU, anak diputuskan tarikh lain

AHMAD Zukhairi Mohd. Arif (kiri) dan bapanya hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi rayuan kes rasuah melibatkan wang RM627,636. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan akhir bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman dan anak lelakinya atas sabitan rasuah melibatkan wang RM627,636, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada satu tarikh lain.

Mohd. Arif, 67, dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta kerana bersubahat dengan Ahmad Zukhairi, 42, yang dijatuhi hukuman penjara  lima tahun dan denda RM9.6 juta. 

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah-hujah kedua-dua belah pihak.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Azizul Azmi Adnan menetapkan 7 November ini bagi pengurusan kes untuk menentukan tarikh keputusan.

Kedua-dua beranak itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Mac 2021 yang mengesahkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 14 November 2018.

Pada prosiding itu, perayu-perayu diwakili oleh peguam-peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, M. Athimulan dan Datuk Rajpal Singh manakala pihak responden diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Norzilati Izhani Zainol @ Zainal.

Sementara itu, Hisyam ketika berhujah menyatakan, tiada bukti yang kredibel bagi menunjukkan Mohd. Arif (perayu pertama) bersubahat dengan anaknya melakukan perbuatan rasuah, lapan tahun lalu.

Dalam pada itu, Wan Shaharuddin berhujah, pihak pendakwaan bergantung pada keterangan ikut keadaan yang dikemukakan melalui saksi pendakwaan ke-20 (SP20), Datuk Mohd. Safian Mohd. Salleh yang merupakan kenalan kedua-duanya.

SP20 berkata, perayu kedua memberitahu bahawa bapanya akan berpindah ke kementerian berkenaan dan boleh `tengok-tengokkan’ projek.

“Kes ini bukan secara kebetulan kerana perayu pertama memang ditukarkan ke kementerian itu yang kemudian memaklumkan kepada anaknya `job is on the way’,” hujah Wan Shaharuddin.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Arif didakwa bersubahat dengan Ahmad Zukhairi menerima rasuah berjumlah RM627,636 di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia di ibu negara antara pukul 4 petang dan 7 malam pada 23 Ogos 2016.

Ahmad Zukhairi pula didakwa atas empat pertuduhan iaitu pertuduhan pertama menerima suapan wang tunai dolar Singapura jumlah yang sama daripada Mohd. Safian yang juga Pengarah Wazlina Sdn. Bhd. (Wazlina) pada masa, tarikh dan tempat sama.

Suapan itu sebagai upah untuk Ahmad Zukhairi dan bapanya kerana memberikan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hidbrid di empat buah pulau terpencil di Sandakan, Sabah bernilai RM60 juta kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn. Bhd. (Eramaz).

Bagi pertuduhan kedua, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan dua peratus bernilai RM1.2 juta daripada Mohd. Safian sebagai upah untuknya dan bapa kerana membantu Eramaz mendapat Projek BELB di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang Jaya pada 17 Mac 2016.

Pertuduhan ketiga dan keempat, Ahmad Zukhairi didakwa menerima wang tunai RM130,000 daripada kontraktor Zul Fadli Rozi sebagai upah membantu syarikat HH Global Construction Sdn. Bhd. untuk mendapatkan projek cadangan membina dan menyiapkan Dataran Rekreasi di Tasik Kenyir, Terengganu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning jam 8 pagi, 18 Ogos 2016 dan di Garden Course Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada September 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Pencegahan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya