Perkembangan industri hiburan turut menyaksikan banyak kelahiran pelakon-pelakon baharu, khususnya dalam kategori hero drama atau filem yang seharusnya dilihat sebagai pemangkin atau pelapis berpotensi dalam cabang seni tempatan.
Pun begitu, tidak dinafikan, ada antaranya walau cuma tampil dengan beberapa naskhah drama sahaja sudah mula menunjukkan perilaku sombong, seolah-olah dia telah meraih anugerah paling berprestij dalam negara sebagai anak seni.
Tidak perlu menyebut nama-nama pelakon tertentu, tetapi pertanyaan mengenai perkara ini Hits ada layangkan kepada selebriti serba boleh, Aliff Satar ketika hadir ke majlis tayangan perdana filem Reeza GTR di ibu negara baru-baru ini.
Ini kerana, berbanding artis-artis lelaki muda yang lain, Aliff boleh dikatakan tidak bersikap seperti itu meksipun telah banyak menjayakan drama-drama hebat termasuk mencipta kedudukannya yang tersendiri dalam industri seni.
Pujian itu bagaimanapun diterima dengan nada rendah diri daripada Aliff sekali gus menyerlahkan sisi personalitinya yang sebenar.
“Betulkah saya artis yang tak ‘poyo’ (berlagak)? Rasanya sayalah artis paling poyo sekali. Kalau orang kenal saya betul-betul, orang akan cakap saya ini mamat ‘poyo’. Setengah orang, akan cakap alahai, mamat ini asyik nak cakap bahasa Inggeris sahaja, poyolah Aliff ini.
“Saya tahu ada sahaja yang cakap saya begitu. Tetapi tak tahulah, sebenarnya, kata poyo sendiri itu apa sebenarnya? Ini kerana, secara peribadi, saya ini seorang yang sangat passionate (bersemangat).
“Saya ini seorang artis yang hampir tahu semua orang dalam industri seni ini. Semua wartawan, semua artis, saya tahu. Kalau orang cakap saya poyo, iya, saya akui sahaja, saya memang poyo pun,”katanya sambil tertawa.
Selain itu, ditanya mengenai pengalamannya bekerja dengan artis-artis baharu, pelakon drama Dia Semanis Honey dan filem Pulau ini, memuji bakat dan potensi kelompok junior yang bersemangat dalam kerjaya seni lakon masing-masing.
Kata Aliff, bagaimanapun, dia sedar, ada kalangan mereka yang seakan bimbang bergandingan dengan dirinya kerana status artis lebih senior atau lebih lama dalam industri berbanding mereka.
“Alhamdulilah, saya banyak dipasangkan dengan artis-artis baharu. Saya tahu, mungkin ada antara mereka yang anggap saya lebih senior, jadi mungkin mereka rasa takut nak berlakon sebab saya nampak serius.
“Padahal saya tak serius pun sebenarnya. Mungkin mereka nampak saya punya persediaan di set itu berbeza dan saya berikan sepenuh fokus pada setiap babak, jadi dia pun rasa bimbang andai terosakkan babak ketika satu set dengan saya.
“Contohnya, saya berlakon dengan Sophia dalam filem Reeza GTR ini, saya tengok dia sangat profesional. Bagi saya, profesionalisme itu kena bermula dari diri sendiri dan semua orang akan rasa yang sama,”katanya.
Tambah pemenang tempat ketiga program realiti One In a Million musim pertama ini lagi, dia juga terharu apabila cara dan profesionalisme dirinya bekerja di lapangan lakonan menjadi ikutan pelakon lain.
Baginya, sekurang-kurangnya dia telah memberikan contoh yang baik kepada pelapis-pelapis baharu dalam industri seni.
“Bagi saya, jika ada pelakon baharu yang nampak saya disiplin sebagai contoh, datang awal di set dan sebagainya dan ia kemudiannya membuatkan dia juga mahu mencontohi perkara tersebut, ia bagus.
“Bagi saya, ia adalah sebahagian daripada pembelajaran dan perkembangan kita sebagai seorang pelakon. Saya dulu juga buat benda yang sama bila saya bekerjasama dengan pelakon-pelakon terdahulu,”katanya.
Tak pernah memilih
Dalam pada itu, ditanya mengenai keputusannya untuk terlibat sama dalam Reeza GTR arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, kata Aliff, tawaran untuk memegang watak utama dalam filem ini kerana mahu mencuba terutama berada di bawah pengarahan sutradara tersebut.
Bagi Aliff, dia tidak pernah meletakkan sasaran tertentu semata-mata mahu memastikan tawaran yang datang mampu memberi jaminan populariti buat jenama dirinya.
“Saya sudah 18 tahun berada dalam industri seni ini, saya enjoy setiap perkara, sama ada yang bagus atau tidak bagus, saya tidak kisah.
“Bila saya ditawarkan oleh Ahmad Idham, saya tanya dia bila nak mula penggambaran dan tanya dia naskhah dia berkenaan apa.
“Itu sahaja. Kalau saya fikir, filem inilah yang akan menentukan kerjaya, betul atau ada jaminankah yang ia akan bantu lonjakkan kerjaya saya? Tetapi, sudah tentulah saya berharap orang datang tengok filem ini,”katanya.
Jelas Aliff, dia secara peribadi enggan memberi tekanan pada diri untuk terlalu bersikap cerewet dalam menyusun kerjaya seninya lantaran menganggap segala yang hadir adalah rezeki daripada Allah.
“Saya tak nak rasa stres atau setiap kali nak kena pastikan sesebuah naskhah itu menjadi atau tidak. Ia rezeki, tak boleh hina rezeki. Kalau Tuhan kata itu adalah yang terbaik untuk kita, bersyukur.
“Saya ini tak pernah memilih tetapi menolak pernah, itu pun sebab jadual padat tak dapat nak jayakan. Kalau ada penerbit dan pengarah nak kerjasama dengan saya, okey sahaja,”katanya.
Filem terbitan Grand Brilliance Studio Sdn. Bhd. dengan kerjasama Primeworks Studios ini akan mula ditayangkan di seluruh pawagam pada 17 Oktober ini.