PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menjadi operator rel pertama di Malaysia melancarkan Buku Panduan Penggunaan Perkhidmatan Rel Rapid KL sebagai sumber rujukan pengguna rel.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd. Amir Hamdan berkata, inisiatif bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu dilakukan bagi memudahkan pemahaman konsep keselamatan dan prosedur tatacara penggunaan pengangkutan awam.
“Kami yakin bahawa dengan kaedah ini, kandungan serta maklumat yang ingin disampaikan akan menjadi lebih efektif dan bermakna bagi semua pengguna.
“Orang ramai boleh mendapatkan buku panduan ini di laman sesawang Rapid KL di http://www.myrapid.com.my,” katanya ketika melancarkan buku panduan, di Kuala Lumpur, disini, hari ini.
Pada majlis yang sama, beliau turut melepaskan para peserta pada acara HSE ExploRail 2024 yang diadakan sempena sambutan bulan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari.
Acara yang dilaksanakan dalam bentuk permainan interaktif dan cabaran bertujuan untuk mengukuhkan pemahaman kakitangan rel terhadap Polisi dan Prosedur berkenaan Kesihatan, Keselamatan & Persekitaran.