PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd. Nor dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuarat yang diadakan parti tersebut malam tadi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Ahli Parlimen Cameron Highlands itu turut mengangkat sumpah atas pelantikannya pada mesyuarat sama.
“Malam ini merupakan detik bersejarah apabila beliau menjadi Orang Asli pertama yang menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
“Ini membuktikan komitmen parti untuk menghargai dan memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang termasuk Orang Asli,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan terus komited memperjuangkan isu masyarakat Orang Asli dan membuka peluang kepada mereka untuk memacu kegemilangan negara.
“UMNO akan terus komited untuk memperjuangkan suara dan hak-hak masyarakat Orang Asli dan memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama memacu kegemilangan negara dalam landskap politik negara,” katanya. – UTUSAN