IPOH: Ramai individu yang memohon menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh namun gagal kerana tidak melepasi syarat-syarat yang ditetapkan.
Menurut seorang kakitangan institut latihan memandu swasta di sini yang hanya ingin dikenali sebagai Norma, 31, kira-kira 30 individu telah datang ke syarikatnya untuk menyertai program itu semalam.
“Namun, semuanya tidak memenuhi syarat seperti lewat memperbaharui geran dan insurans selain masih belum cukup 10 tahun.
“Sebenarnya, mereka yang berminat boleh memeriksa kelayakan menerusi portal MyJPJ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Katanya lagi, sekiranya syarat-syarat itu dilonggarkan namun tidak meminggirkan keselamatan pemohon mungkin akan menambah bilangan yang layak.
“Setakat hari ini sudah lebih 30 orang ini menunjukkan ramai yang berminat,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dipetik sebagai berkata, pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas akan layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh bermula 1 Oktober.
Loke berkata pemohon bagaimanapun perlu memenuhi syarat ditetapkan, antaranya menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM) dengan kos yuran sebanyak RM160.
Beliau berkata, pemohon perlu menjalani program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pengoperasian motosikal berkuasa besar, untuk tempoh dua jam sahaja. –UTUSAN