PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mendapatkan maklumat daripada Kedutaan Russia di negara ini berhubung dakwaan seorang rakyat Malaysia menjadi tentera upahan dalam konflik Russia-Ukraine.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu dilakukan oleh Jabatan Cawangan Khas PDRM.
“PDRM melalui Cawangan Khas telah berhubung dengan Kedutaan Russia di sini (Malaysia).
“Kita masih menunggu maklum balas mereka (kedutaan) untuk pengesahan mengenai dakwaan berkenaan termasuklah status warga tempatan yang dikaitkan dengan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurut beliau, PDRM juga telah berhubung dengan pihak keluarga individu berkenaan.
Bagaimanapun, kata Razarudin, pihak keluarga memaklumkan individu itu hanya belajar di luar negara.
Kata beliau, tindakan sedang diambil oleh pihaknya berkaitan isu terbabit.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi selain diingatkan untuk tidak terlibat dengan mana-mana ‘pejuangang asing’,” katanya.
Semalam tular mengenai penemuan dua keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Russia.
Gambar tular itu menunjukkan lelaki berkenaan kononnya terlibat dengan pasukan tentera upahan 16th Rifle Batalion Ukraine yang sedang berdepan tentera Russia.
Dokumen berkenaan antaranya menunjukkan alamat berdaftar individuitu di Padang Besar, Perlis.
Dikatakan kedua-dua dokumen itu ditemukan selepas kejayaan tentera Russia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny, Zaporizhia, Ukraine. – UTUSAN