Rakyat Kedah perlu nilai prestasi wakil rakyat - Johari - Utusan Malaysia

Rakyat Kedah perlu nilai prestasi wakil rakyat – Johari

JOHARI Abdul Ghani (tengah) ketika hadir merasmikan Jelajah Bongkar anjuran UMNO Kedah di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jelajah Bongkar yang diperkenalkan oleh Badan Perhubungan UMNO Kedah boleh menjadi platform untuk rakyat negeri itu menilai prestasi setiap wakil rakyat yang dipilih mereka.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebahagian pengisian program itu adalah turun ke padang untuk memberitahu fakta, fitnah atau tipu terhadap sesuatu perkara.

“Dalam jelajah itu akan diceritakan apa benda yang tipu, apa yang fitnah dan apa yang fakta. Jadi inilah yang disusun oleh Pengerusi UMNO Kedah (Datuk Seri Mahdzir Khalid) dan 15 bahagian UMNO di Kedah untuk memastikan bahawa kita mesti terus turun ke bawah memberi pandangan.

“Peringatan ini dibuat kepada rakyat negeri Kedah bahawa betapa pentingnya untuk mereka di seluruh Kedah menilai setiap wakil rakyat dan pemimpin yang mereka pilih sebagai wakil rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Jelajah Bongkar anjuran UMNO Kedah di sini, hari ini.

Johari berkata, banyak perkara penting yang dibincangkan pada program itu bagi memantapkan Jelajah Bongkar yang akan dilaksanakan.

“Misalnya, macam banyak janji-janji yang telah dilontarkan waktu pilihan raya yang lepas, sama ada telah ditunaikan atau tidak, itu rakyat kena nilai.

“Paling penting bila kita berdepan masalah contohnya banjir, Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM13 juta. Jadi saya nak tanya dengan UMNO-UMNO bahagian ini banyak rakyat terkesan, jadi adakah mereka dapat bantuan daripada kerajaan negeri untuk membantu.

“Jadi, inilah isu-isu yang kita bincang tadi dalam Jelajah Bongkar ini,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, asas program Jelajah Bongkar itu adalah untuk menyampaikan fakta yang sebenar kepada rakyat di Kedah.

“Kita akan cakap benda betul kepada rakyat. Bukan retorik, bukan cerita pembohongan tapi cerita benar misalnya dalam hal yang berkaitan dengan kebajikan rakyat dan bagaimana masa hadapan negeri Kedah.

“Adakah kita hanya nak duduk macam ini juga atau kita nak kena berubah kerana sebenar-benarnya yang tolong rakyat di negeri ini ketika ini kerajaan negeri atau Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya