PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia semalam.
Keberangkatan tiba baginda ke program bersempena ‘Kayuhan Ramah Mesra POLYCC 2024’ di sekitar Kelana Jaya itu disambut oleh Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail.
Pelepasan acara pula dibuat oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Mohd. Zahri Samingon.
‘POLYCC Ride 2024’ bersama baginda bermula di pekarangan Kolej Komuniti Kelana Jaya dan singgah di hentian pertama iaitu di Masjid Al-Husna, Bandar Sunway.
Kolej Komuniti Hulu Selangor telah menjalankan kursus pendek bersama anak-anak kariah masjid tersebut. Antara kursus yang dijalankan adalah Kursus Pembuatan Ais-Krim, Kursus Pembuatan Coklat, Kursus Doodling Arts, Kursus Gubahan Bunga, Kursus Gubahan Hantaran dan beberapa kursus lain lagi.
Destinasi hentian kedua adalah Masjid Al-Islamiah, di sini. Kariah masjid tersebut berpeluang menjalani kursus pendek yang disediakan oleh Kolej Komuniti Ampang, antaranya Kursus Asa Membaiki Telefon Bimbit Android, Kursus Canting Batik dan Kursus Asas Jahitan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan majlis Penandatanganan ‘Letter Of Intent (LOI)’ dengan industri di antara Kolej Komuniti Kelana Jaya dengan lapan agensi iaitu Muamalat Gold Sdn. Bhd., PMA Rich F&B Sdn. Bhd (Mokti’s), HL Agrofarm KB Sdn Bhd, Pahlawan Merah Event & catering Sdn. Bhd., An-Nuur Food Industries Sdn. Bhd., ASE Tech Academy, Pusat Pengajian Al Baghdadi Seksyen 14 Petaling Jaya (Al Hamsi Legacy Sdn. Bhd.) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS), serta penyerahan sumbangan Muamalat Gold kepada pelajar Kolej Komuniti Kelana Jaya.
Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan meluangkan masa ke bengkel dan makmal di Kolej Komuniti Kelana Jaya tersebut serta menyaksikan beberapa demonstrasi ‘Servis Asas Kenderaan’, ‘Scan Tool’, ‘Balancing Tyre’ dan ‘Welding’.
Program bermula pukul 8 pagi sehingga 4 petang itu melibatkan penyertaan daripada POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan termasuklah Kolej Komuniti Hulu Selangor, Kolej Komuniti Klang, Kolej Komuniti Shah Alam, Kolej Komuniti Kuala Langat dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Kolej Komuniti Ampang, Kolej Komuniti Tanjong Karang, Kolej Komuniti Sabak Bernam, Kolej Komuniti Selayang, Politeknik Banting, Selangor dan tuan rumah Kolej Komuniti Kelana Jaya. –UTUSAN