Rahimi Setiausaha Kerajaan Negeri kelima bawah pentadbiran Mohd. Shukri - Utusan Malaysia

Rahimi Setiausaha Kerajaan Negeri kelima bawah pentadbiran Mohd. Shukri

MOHD. SHUKRI RAMLI.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis menerima Setiausaha Kerajaan Negeri baharu bagi menggantikan Datuk Che Murad Sayang Ramjan yang akan menyambung perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat di Putrajaya.

Jawatan itu akan digantikan oleh Ketua Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Datuk Rahimi Ismail.

Untuk rekod, Che Murad hanya berkhidmat selama kira-kira tiga bulan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri selepas menggantikan Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang sebelum ini menyambung perkhidmatan ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkuatkuasa 3 Julai lalu.

Malah, dalam tempoh dua tahun sepanjang pentadbiran Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli sejak 2022 lalu, sudah lima kali menyaksikan pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohd. Shukri berkata, pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri yang kerap berlaku itu tidak dinafikan memberi sedikit gangguan kepada beliau dalam menguruskan pentadbiran di Perlis.

“Tapi apa pun, kita positif. Mungkin pertukaran ini disebabkan kenaikan pangkat atau apa-apa keperluan di Putrajaya, itu saya tak tahu dan tak pasti,” katanya.

Tambah Mohd. Shukri, kerajaan negeri menerima hakikat berhubung pertukaran itu dan berharap agar polisi yang dibuat oleh Che Murad dapat disambung selepas ini.

Beliau berkata, pihaknya positif dengan perkembangan tersebut dan akan terus bekerja bersama Rahimi dalam menjayakan perancangan buat negeri ini.

“Kita harap dengan pertukaran ini dapat merencanakan dan meneruskan agenda-agenda yang telah dirancang,” katanya.

Katanya lagi, beliau juga akan mengadakan perbincangan mengenai perkara ini bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang akan berkunjung ke Perlis.

“Saya akan bincang secara lanjut bersama dia (Timbalan Perdana Menteri) sebelum berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya