Rabu hari tanpa gula di Parlimen

Rabu hari tanpa gula di Parlimen

JOHARI Abdul IHSAN/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bermula minggu ini, Parlimen menjadikan setiap Rabu sebagai hari tanpa gula dan berjalan sepanjang persidangan berlangsung.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, usaha tersebut bagi menyemai gaya hidup yang sihat khususnya dalam kalangan ahli Parlimen.

“Hari tanpa gula ini bukan saja akan membabitkan kakitangan Parlimen tetapi meliputi ahli-ahli Parlimen juga.

“Ini selaras dengan kempen gaya hidup sihat yang perlu kita amalkan bersama,” katanya ketika mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, rakyat dewasa Malaysia mengambil gula 26 sudu sehari berbanding enam sudu seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu lebihan sehingga 80 peratus pengambilan bahan itu.

Berdasarkan data platform World Population Review, Malaysia menduduki tempat ke-14 negara tertinggi dunia dalam pengambilan gula iaitu sebanyak 41.63 kilogram (kg) per kapita dalam setahun atau bersamaan 8,326 sudu teh gula.

Dalam pada itu, Johari berkata, sebanyak 28 kawasan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok iaitu termasuk di bangunan Parlimen, ini selepas penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober lalu.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menetapkan merokok dan penggunaan rokok elektronik perlu melebihi jarak tiga meter dari bangunan.

“Oleh demikian pihak pengurusan Parlimen sediakan tiga lokasi yang bersesuaian untuk perkara tersebut iaitu berhadapan kafeteria di blok Ahli Parlimen dan pentadbiran, kawasan bersebelahan blok utama bertentangan dengan blok sementara dan berhadapan dewan serbaguna bersebelahan taman herba,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, Parlimen sudah melaksanakan projek Sistem Fotovolta Suria, sebagai sebahagian usaha menyokong dasar berkaitan tenaga boleh diperbaharui.

“Parlimen Malaysia merupakan antara Parlimen terawal di dunia mengoptimumkan penggunaan tenaga solar dengan kapasiti 1.5 megawatt-peak sebagai inisiatif peralihan kepada sumber tenaga yang lebih lestari,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya