Rabbani nafi terima dana GISBH

Rabbani nafi terima dana GISBH

KUMPULAN Rabbani nafikan mereka terima dana daripada GISBH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid popular, Rabbani, menafikan dakwaan pernah menerima sebarang bentuk sumbangan mahupun tajaan dana daripada GISB Holdings (GISBH).

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz menegaskan, kumpulan nasyid itu tidak pernah bekerjasama atau terlibat dengan syarikat tersebut semenjak Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan kumpulan Al-Arqam pada 1994.

“Rabbani tidak pernah sama sekali menerima apa-apa sumbangan daripada GISBH. Kami tidak rasa malu dan takut untuk mengatakan kami bekas pengikut Al-Arqam, pernah bersekolah serta mengasaskan kumpulan nasyid.

“Namun selepas Al-Arqam diharamkan 30 tahun lalu, kami sudah tinggalkan dan tidak terlibat langsung dengan GISBH.

“Saya secara peribadi pernah dijemput berkali-kali oleh pihak mereka datang ke program hari raya. Saya bukan tidak mahu pergi, cuma aneh mengapa tiba-tiba dipanggil,” katanya.

Azadan ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang akhbar Ensany Global Peace dan Makan Malam Amal di Restoran Rebung Chef Ismail, semalam.

Dalam pada itu, Azadan turun mendedahkan keengganannya memasuki GISBH menyebabkan hubungan antara dua pihak menjadi dingin.

“Peringkat awal (bertemu) GISBH, mereka salam pun tidak mahu. Jadi bagaimana kita mahu dekat dengan mereka?

“Tapi sebagai manusia, kalau saya ada buat persembahan di negeri lain. Saya makan sahaja di restoran mereka jika sudah tiada tempat lain. Kita pun rasa kekok juga sebab orang tidak mahu kita.

“Cuma saya berkawan dengan sebahagian kecil mereka yang memang teman lama saya. Kadang ada juga dengar cerita terkini daripada keluarga mereka yang tidak masuk akal

“Sebab itu kalau mahu bercakap pun saya berjaga-jaga,” tambahnya.

Bagaimanapun, susulan dari­pada pelbagai kontroversi membabitkan GISBH, Azadan selaku bekas pengikut Al-Arqam menyeru ahli gerakan itu untuk kembali ke pangkal jalan.

“Benda yang berlaku tentang GISBH hari ini, mereka kena terima sebulat hati. Apa yang saya boleh cakap, kembalilah ke pangkal jalan kerana taasub ini pun sangat berbahaya kerana boleh hilangkan akal fikiran kita.

“Semasa Al-Arqam diharamkan dulu, kami tidak memberontak. Ikut sahaja arahan kerajaan pergi ke pusat pemilihan akidah. Kemudian kami sedar bahawa kita ini milik masyarakat dan bukannya hanya untuk golongan tertentu sahaja.

“Sebab itu kami bernasyid untuk menyebarkan dakwah agar boleh diterima masyarakat,” tambahnya.

Kontroversi GISBH memuncak apabila dikaitkan dengan isu eksploitasi kanak-kanak, agama dan liwat.

Oleh itu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin adalah yang pertama memutuskan bahawa ajaran dan kepercayaan yang dibawa oleh kumpulan itu mempunyai unsur ajaran sesat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya